Khamis, 17 Januari 2019

PHEB larang guna lembu untuk tarik pedati Thaipusam

MALAYSIAKINI

   

Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) hari ini melarang penggunaan lembu untuk menarik kereta pedati pada perayaan Thaipusam, Isnin ini.

Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, yang juga pengerusi PHEB berkata sejak tiga tahun lepas, penggunaan haiwan seperti lembu untuk menarik kereta pedati adalah dilarang di kuil-kuil di bawah PHEB, namun masih terdapat kumpulan yang enggan mematuhinya.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan itu adalah tidak betul kerana ia dianggap sebagai satu kekejaman terhadap haiwan.

"Sekiranya perlu, lembu boleh diguna sebagai pengiring bagi memeriahkan sambutan tetapi bukan digunakan untuk menarik kereta pedati. Kita harus menghentikan perbuatan sedemikian terhadap haiwan semasa perayaan suci ini yang disertai oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia.

"Para penganut seharusnya menarik kereta pedati ini sebagai menyumbang tenaga untuk menjayakan sambutan berkenaan atau gunalah "tug machine" tetapi bukan ditarik oleh lembu," katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan akhir sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Balathandayuthanpani di Jalan Kebun Bunga sini hari ini.



RAMASAMY-LEMBU 2 (AKHIR) GEORGE TOWN


Sementara itu, Ramasamy berkata satu kereta pedati emas baharu yang disumbangkan oleh seorang penganut akan diguna pakai sebagai kereta pedati rasmi kerajaan negeri.

"Saya ingin menegaskan bahawa tiada sesen pun wang kerajaan negeri digunakan untuk mendapatkan kereta pedati emas baharu kerana itu adalah hasil sumbangan penganut," katanya.

Katanya, lebih 1.3 juta penganut Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Kuil Hilltop di sini sepanjang perayaan itu bagi melakukan pelbagai upacara keagamaan seperti membayar nazar dan memperingati kelahiran Dewa Murugan.

"Segala persiapan Thaipusam ini berjalan lancar termasuk soal keselamatan dan kawalan trafik di mana kereta pedati emas itu akan bertolak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Lebuh Queen bermula pukul 6.00 pagi, Ahad ini," katanya.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia bagi memperingati hari kelahiran Dewa Murugan dan juga hari dewa itu menerima lembing sakti bagi menghapuskan kuasa jahat.-- BERNAMA


Tiada ulasan: