Khamis, 31 Januari 2019

Maknyah, 2 tokoh besar Islam dan seorang mufti negeri




Baru-baru ini telah tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan pergaduhan 2 orang yang dipercayai wanita trans di hadapan sebuah farmasi di pusat membeli belah di Kuala Lumpur.

Menerusi klip video itu, kelihatan mangsa ditarik keluar dari farmasi berkenaan oleh seorang lagi wanita trans. Mangsa ditampar dan diherdik berulang-kali yang kemudiannya berakhir dengan pergelutan antara kedua-dua mereka.

Kita tidak dapat menolak, ada kemungkinan video ini mencetuskan komen daripada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang berbunyi: “Hanya 2 jantina yang diiktiraf. Tiada yang ke-3. Agama mengharamkan jantina bidaah yang dinamakan ‘maknyah’ atau ‘saudarai’ atau apa sahaja namanya.”

Komentar tersebut serta-merta mendorong cetusan di hati ini, apakah mazhab yang dipegang oleh saudara mufti memandangkan 2 orang ulama besar, masing-masing dari dunia Sunni dan Syiah, pernah mengiktiraf trans, dan mengizinkan pembedahan tukar jantina (SRS) sejak tahun 1980an.

Sheikh al-Tantawi bermazhab Sunni dari Mesir dan Ayatullah Khomeini bermazhab Syiah dari Iran mungkin tidaklah seprogresif Asri seperti yang beliau megahkan. Kedua-dua mereka dapat digolongkan sebagai neo-tradisionalis.

Untuk memahami proses pengeluaran hukum yang mendorong fatwa keizinan untuk melakukan pembedahan tukar jantina (SRS) daripada kedua-dua ulama besar ini, kita perlu melihat bagaimana mereka membuka mata terhadap 2 kes wanita trans.

Kes pertama adalah Sally atau nama kelahirannya Sayyid Abd Allah yang merupakan penuntut di Fakulti Perubatan Al-Azhar di awal tahun 1980an. Beliau mengalami kemurungan yang dahsyat yang mana pakar psikologi telah menyatakan beliau mengalami “psychological hermaphroditism”.

Pakar psikologi cuba merawat Sayyid selama 3 tahun, tetapi gagal, dan kemudiannya merujukkan beliau kepada pakar yang akan melakukan pembedahan jantina.

Pakar bedah tersebut telah merujukkan Sayyid kepada ahli psikologi kedua yang turut bersetuju dengan pandangan yang pertama. Sayyid akhirnya melakukan SRS.

Tetapi selepas melakukan pembedahan tersebut, dekan fakulti enggan membenarkan Sally (nama baharu Sayyid) menduduki peperiksaan dan keributan berlaku.

Untuk menyelesaikan masalah ini, fatwa mufti Mesir diperlukan. Pihak Majlis Perubatan mengutus surat kepada Sheikh Tantawi pada 14 Mei 1988 meminta pandangan atau ijtihad beliau. Beberapa pemeriksaan dilakukan terhadap Sally yang mana pakar turut mengesahkan tiada kesan liwat. Ini membolehkan satu konklusi yang mana Sally diputuskan adalah seorang trans dan bukan gay.

Fatwa Sheikh Tantawi bertarikh 8 Jun 1988 ini dirakam secara terperinci oleh Skovgaard-Petersen, seorang sarjana yang meneliti institusi fatwa.

Kisah ‘maknyah’ Iran

Kes kedua adalah Fereydoon Mulkara (1950-2012) kelahiran Iran.

Sejak kecil, Fereydoon sudah mempunyai naluri keperempuanan dan sering diejek. Dia mengenakan busana perempuan sehinggalah diusir ibu-bapa.

Di awal usia 20an, beliau bertugas sebagai pembantu di rumah jagaan orang tua yang menemukannya dengan seorang pakar psikologi. Fereydoon memberitahu beliau merasakan dirinya wanita, dan bukan gay lelaki.

Pakar psikologi itu menjelaskan beliau mengalami “psychological hermaphroditism”. Ini mendorong Fereydoon, seorang yang warak, untuk mendapat pandangan seorang ulama besar di Tehran iaitu Ayatullah Behbehani.

Behbehani melakukan istikharah (ala Ja’fari iaitu dengan Al-Quran) dan halaman Al-Quran yang terbuka ketika proses istikharah tersebut adalah muka pertama Surah Maryam.

Sejak itu Fereydoon menggunakan nama Maryam. Behbehani menyarankan Maryam menulis surat kepada Ayatullah Khomeini yang ketika itu hidup dalam buangan.

Apabila Imam Khomeini berada di Paris, Maryam mengambil peluang ke Perancis untuk menemuinya; tetapi gagal. Berbekalkan pandangan Behbehani, Maryam mulai mengambil hormon yang membolehkan payu daranya mengkal.

Apabila Revolusi Iran meletus, Maryam hilang mata pencarian selepas diberhentikan oleh Televisyen Iran. Dia malah ditangkap berkali-kali kerana berpakaian wanita, dihumban ke dalam penjara dan disuntik tanpa kebenarannya hormon testosteron untuk mengembalikan keadaan asal dadanya (tanpa buah dada yang mekar).

Maryam menemui pula seorang ulama konservatif, Ayatullah Ahmad Jannati, yang mencadangkan beliau menulis surat kepada Khomeini.

Khomeini yang tidak memahami isu Maryam telah mengeluarkan fatwa untuk membenarkan beliau sebagai seorang perempuan dengan sangkaan Maryam seorang khunsa dengan 2 jantina.

Keadaan itu amat menyeksa Maryam, beliau memiliki payu dara, dan dipaksa berpakaian lelaki dengan jambang.

Maryam, yang merupakan seorang yang kuat beragama telah menawarkan diri untuk berkhidmat di barisan hadapan ketika perang Iran-Iraq. Kelembutan layanan dan rawatan yang beliau berikan telah mendorong banyak pertanyaan dalam kalangan askar.
Maryam yang menjalani pembedahan jantina (kiri) bersama 
suaminya Mohamad.
Pada 1983, tidak tahan lagi dengan penderitaan yang dialaminya; Maryam berusaha menemui Khomeini, lalu berangkat ke luar rumah Imam.

Sambil memegang Al-Quran di tangannya, dia menggantung kasut di tengkuk sebagai satu lambang dalam kalangan orang Iran (tanda menyerah diri dan memerlukan perlindungan).

Tindakan itu disalah tafsir pengawal rumah Khomeini yang menyangkakan ia adalah alat letupan. Maryam dibelasah dengan dahsyat.

Ketika dipukul Maryam menjerit, “Saya seorang perempuan, saya seorang perempuan”.

Tatkala itu abang Khomeini, Hasan Pasandideh, melintasi halaman dan terkejut melihat tindakan pengawal membelasah seseorang sehingga berdarah.

Maryam dibawa ke ruang tamu di rumah Khomeini. Beliau kemudian menceritakan apa yang berlaku kepada anaknya Ahmad Khomeini.

Pengawal mempertahankan tindakan mereka dengan menunjukkan kasut yang diikat di tengkuk. Maryam memutuskan untuk merungkai sepatu itu, berteriak “saya perempuan” seraya kemudian melondehkan baju sehingga terdedah payu daranya.

Sebaik sahaja buah dadanya kelihatan, wanita di kalangan ahli keluarga Khomeini segera membawakan chador dan membawa Maryam masuk ke kamar Imam.

Di hadapan Khomeini, beliau pengsan. Beberapa tahun kemudian apabila diwawancara, Maryam menjelaskan beliau pengsan kerana merasakan sudah berada di syurga. Ini kerana usaha beliau untuk menemui Imam Khomeini akhirnya berhasil.

Khomeini telah meminta pandangan 3 orang doktor pada waktu itu dan memarahi pengawalnya kerana melayan wanita sebegitu buruk.

Beliau kemudian memberikan fatwa membenarkan Maryam melakukan SRS. Presiden Iran ketika itu, Ali Khamenei menghadiahkan chador kepada Maryam. Hanya beberapa tahun kemudian barulah Maryam melakukan pembedahan di Thailand.

Maryam malah menubuhkan Yayasan Imam Khomeini untuk mendanai mereka yang memerlukan SRS. Yayasan ini kemudian didanai kerajaan Iran apabila Zahra Shojai, seorang wanita dilantik menjadi naib presiden.

Maryam mengahwini seorang penjawat awam bernama Mohamad dan meninggal dunia pada tahun 2012.

Islam tidak herdik golongan trans

Untuk memutuskan kes Sally, Sheikh Tantawi telah melakukan ijtihad dengan memberi perhatian kepada qias sebagai salah satu sumber hukum. Ini dilakukan berasas sebuah hadis yang mana Rasulullah tidak melarang kaum mukhannath masuk ke ruang perempuan sehinggalah baginda mendengar mereka memberi perincian tentang fizikal wanita itu kepada orang lain.

Berdasarkan kefahaman Tabari, Tantawi berpandangan kaum mukhannath tidak wajar disalahkan dan mesti dirawati.

Ini mendorong kepada langkah kedua di mana Tantawi memutuskan berdasarkan hadis yang setiap penyakit hendaklah diubatkan.

Tantawi seterusnya merujuk kepada hadis Ahmad bin Hanbal dan Muslim menerusi Jabir yang mana Rasulullah menghantar seorang pakar memotong urat dan menyembuhkannya dengan kaedah tersebut.

Berdasarkan perbincangan al-Qastallani dan al-Asqalani, Tantawi memutuskan SRS diperbolehkan. Di akhir sekali Tantawi menyatakan sesiapa yang ingin melakukan pembedahan hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan dan bukan memandai.

Dalam kes Imam Khomeini, Syiah tidak mengiktiraf qiyas sebagai sumber hukum. Akan tetapi salah satu sumber hukum dalam mazhab Ja’fari Syiah adalah akal, yang mana membawa Khomeini kepada kaedah-kaedah fekah sebagai penyelesaian.

Pertama, Khomeini menggunakan kaedah fekah isalat al-ibahah dan isalat al-hillyyah yang mana setiap sesuatu yang tidak dapat diputuskan secara jelas sebagai haram, atau halal, adalah dengan itu dibenarkan dan hukumnya diperbolehkan asalkan tiada keterangan jelas yang ia haram berdasar sumber Islam.

Pun begitu, Khomeini menyatakan, jika ia tidak benar-benar diperlukan, makanya ia tidak diperbolehkan.

Kedua, kaedah fekah isalat al-taslit turut digunakan yakni adalah menjadi hak setiap individu untuk mengubah badan dan kepunyaan sendiri.

Peringkat ketiga, Khomeini menetapkan SRS boleh dilakukan dengan sokongan pakar perubatan dan psikologis.

Akhir sekali kaedah yang paling besar adalah ijtihad itu sendiri yang mana di dalam Syiah terdapat peranan masa dan tempat di dalam ijtihad yang menjadikan ia dinamik.

Dalam erti kata lain, ijtihad membenarkan fleksibiliti. Ini menjelaskan banyak fatwa Khomeini seperti kebenaran bermuzik, bermain catur dan hak wanita sebagai ahli parlimen.

Kedua-dua kes melibatkan Sally dan Maryam menunjukkan agama Islam tidaklah semberono mengherdik trans.

Malah ulama besar dalam dunia Sunni dan Syiah yang dianggap tradisional pun boleh menyantun dan beradab dalam mengeluarkan fatwa dan kenyataan.

Kesemberonoan tidak harus keluar daripada seorang mufti. Sebarang pandangan dan hujah keras dan menghukum akan menjadikan masyarakat juga keras dan menghukum sendiri.

Adalah dibimbangi ada yang mengambil tindakan sendiri atas dasar kebencian.

Mufti di Malaysia yang perasan progresif boleh menemui sendiri para trans, mendengar penderitaan mereka, berbincang dengan pakar perubatan dan psikologi; seperti yang dilakukan oleh ulama besar Tantawi dan Khomeini.

Usahlah bersombong dengan ilmu di dada dan memilih jalan herdik dan hamun.

Ketahuilah, umat memerlukan; kamu adalah mufti, bukan penunggang keldai dengan cemeti.

Tiada ulasan: