Selasa, 5 April 2016

Sarawak: “Siapa suruh kamu orang buat jalan sendiri?”

gerald 2

Roketkini.com


BETONG: Demi pendidikan anak, penduduk rumah panjang Perdu di daerah luar bandar Betong beberapa tahun lalu telah bertungkus-lumus membina jalan kampung sendiri sebagai laluan motosikal untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Selain mengeluarkan perbelanjaan dari poket masing-masing untuk jalan tersebut, mereka juga terpaksa membayar sewa jentolak bagi membesarkan laluan keluar dari kampung mereka menuju laluan utama.
Semua itu terpaksa dilakukan semata-mata kerana kerajaan Barisan Nasional tidak pernah menunaikan janji-janji yang dibuat sewaktu kempen pilihanraya.

Calon berpotensi DAP untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Gerald Roger Anding, memberitahu Roketkini.com, apabila penduduk kampung itu menemui wakil rakyat BN untuk memohon agar dibayar kos pembinaan jalan untuk anak mereka ke sekolah, jawapan yang mereka dapat ialah: “Siapa suruh kamu orang buat jalan sendiri?”

“Mereka pernah berkata kepada saya, tuai rumah (ketua rumah panjang) pergi berjumpa wakil rakyat (Tan Sri Alfred Jabu) ingin meminta bantuan kewangan supaya boleh membayar balik kos mereka membuat jalan.

“Namun Alfred Jabu enggan membayarnya dan marah mereka kerana buat jalan sendiri. Sedangkan BN sendiri tidak berbuat apa-apa untuk anak-anak kampung itu ke sekolah,” katanya.

Sikap tidak peduli wakil rakyat BN pro-UMNO itu terhadap kesusahan dan penderitaan masyarakat di kawasan itu menyebabkan pengundi berasa semakin jelak dipermainkan janji-janji kosong BN, tambah beliau.

Menurutnya, untuk pilihanraya negeri Sarawak kali ini, penduduk rumah panjang Perdu, yang terletak di Spak, Layar sebulat suara akan menolak BN kerana sikap sombong dan tidak peduli rakyat.

“Selama sembilan penggal, iaitu 41 tahun Alfred Jabu yang mewakili BN telah berjanji untuk membina jalanraya dan sediakan kemudahan elektrik. Tetapi semua itu omongan kosong,” ujarnya.

Pengerusi DAP Betong itu menjelaskan, penduduk juga tidak lagi gentar dengan kempen ugut-mengugut BN dan telah pun sepakat menolak parti pro-UMNO itu dalam pilihanraya negeri akan datang.

“Bukan sahaja BN sarawak tidak peduli orang kampung, rakyat luar bandar Sarawak juga terbeban teruk dengan cukai GST yang dikenakan kerajaan yang disifatkan mereka sendiri sebagai ‘pembunuh rakyat’,” kata Gerald.

Perjalanan ke rumah panjang Perdu mengambil masa selama dua jam dari Pasar Betong akibat ketiadaan jalanraya yang sempurna, malah jalan tanah merah yang dilalui juga sering rosak dan berbecak sekiranya hujan menyukarkan lagi perhubungan.

Perdu merupakan rumah panjang yang terletak di kawasan paling hulu daerah Betong. Antara rumah panjang yang dilalui sepanjang jalan sebelum tiba di rumah panjang Perdu ialah rumah panjang Pelepok dan Muman.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang, BN telah mengundurkan Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak untuk digantikan dengan anaknya sendiri, Gerald Rentap Jabu, bakal melawan Gerald Roger di DUN Layar. – Roketkini.com


Tiada ulasan: