Selasa, 5 April 2016

Ringgit naik, El Nino tak jejas pelancong – Nazri

 
"Pelancong suka cuaca panas di Malaysia. Mereka boleh berselipar dan bersinglet serta berjalan-jalan."


nazri


SHAH ALAM: Kenaikan nilai ringgit dan cuaca panas luar biasa yang melanda negara tidak menjejaskan kedatangan pelancong asing.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata pelancong asing menyukai cuaca panas di negara ini meskipun suhunya tinggi berbanding biasa.

Malah, pelancong juga tidak terganggu dengan kenaikan nilai ringgit kerana produk pelancongan yang ditawarkan berbaloi untuk dilawati.

“Pelancong suka cuaca panas di Malaysia. Mereka boleh berselipar dan bersinglet serta berjalan-jalan. Kita tiada masalah asalkan tidak berbogel.

“Begitu juga dengan kenaikan nilai ringgit. Saya fikir tidak beri kesan sangat kerana mereka tetap ke Malaysia,” katanya, selepas merasmikan majlis pecah tanah Hotel Hilton I-City di sini, hari ini.

Bulan ini, ringgit mula mengukuh dalam pasaran matawang antarabangsa selepas nilainya merosot sejak tahun lalu. Ringgit kini berada pada paras kira-kira RM3.90 berbanding AS$1.

Negara juga sedang berhadapan dengan fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas luar biasa dan suhu meningkat melepasi 35 darjah Celcius di beberapa tempat.

Tahun lalu, seramai 29 juta pelancong dari pelbagai negara berkunjung ke negara ini. Malaysia menyasarkan 30 juta pelancong tahun ini.

Tiada ulasan: