Sabtu, 2 April 2016

Ribuan ahli tak keluar mengundi PRU13 - kajian Umno

MALAYSIAKINI




Ramai ahli Umno yang memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian dikenal pasti antara yang tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Strategi Umno Datuk Mohd Jidin Shafee yang mendedahkan perkara itu berkata, senarai berkenaan mencecah ribuan ahli dalam setiap bahagian.

Beliau dipetik akhbar Utusan Malaysia berkata, kajian yang diterimanya bulan lalu turut menunjukkan, ramai anak ahli Umno yang sudah cukup umur dan layak mengundi juga tidak mendaftar sebagai pemilih dan ahli parti Melayu itu.

“Statistik lengkap itu akan diteliti untuk mengenal pasti punca sebenar ahli berkenaan bertindak sedemikian sedangkan menjadi satu tanggungjawab penting sebagai ahli parti dan pemilih dalam satu-satu PRU,” katanya dipetik akhbar itu.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Setiu berkata selepas kajian itu diteliti, Perhubungan Umno Negeri Terengganu akan mengambil tindakan yang sesuai termasuk memanggil atau menemui ahli berkenaan berhubung tindakan yang merugikan parti itu.

Jelasnya, dalam PRU, pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya kecil (PRK) sudah menjadi tanggungjawab mereka dalam membantu parti untuk membentuk sesebuah kerajaan.

“Ini bukan satu perkara remeh dan kecil, adalah tidak wajar apabila ahli Umno meletakkan tugas itu kepada orang lain sedangkan setiap ahli mesti faham tentang tanggungjawab yang harus dipikul oleh mereka.

“Ibu bapa perlu serius tentang hal ini dan mengambil iktibar bahawa anak-anak mereka merupakan pewaris dan pejuang untuk kesinambungan perjuangan orang Melayu dan negara,” katanya.


Tiada ulasan: