Rabu, 13 April 2016

PRN Sarawak: Pakatan Harapan satu lawan satu hadapi BN

Oleh Fiza Abd Halim


KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (Pakatan) memutuskan untuk menentang Barisan Nasional (BN) dengan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) yang dijangka berlangsung bila-bila masa dari sekarang.

Perkara ini diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Wawi PH

“Kita membincangkan mengenai pilihan raya Sarawak dan sudah mencapai persetujuan bahawa tidak ada pertindihan kerusi antara kami.

“Alhamdulillah kita sudah mencapai keputusan untuk bertanding satu lawan satu di Sarawak,” katanya di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, lewat petang semalam.

Tambahnya, pecahan jumlah kerusi bertanding melibatkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan iaitu KEADILAN, DAP dan Amanah bakal diumumkan kelak.

Sementara itu tambah Wan Azizah, isu milikan tanah adat Bumiputra (NCR), kos sara hidup tinggi akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan isu infrastruktur di Sarawak akan menjadi isu utama yang bakal dibawakan dalam kempen akan datang.

Sebanyak 82 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan pada pilihan raya ini.

Ia meningkat berbanding 71 kerusi pada PRN lalu yang diadakan pada 16 April 2011.

11 kerusi baru adalah susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada tahun lalu.

Daripada 11 kerusi DUN itu, tiga adalah kawasan majoriti kaum Melayu/Melanau (Gedong, Kabong dan Telian), tiga majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju), dua majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama) dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh), dan satu majoriti kaum Cina (Batu Kitang).

Tiada ulasan: