Selasa, 19 April 2016

Pas nekad rampas tiga Dun

Pas nekad rampas tiga Dun
Bendera Pas
 
 
KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas menaruh kepercayaan terhadap gerak kerja di peringkat kawasan khususnya Hulu Terengganu apabila menyifatkan tidak mustahil Pas menang di kesemua kerusi Dun di Parlimen tersebut pada PRU14 akan datang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiga kerusi Dun yang gagal ditawan Pas di Parlimen Hulu Terengganu iaitu Kuala Berang, Telemong dan Ajil boleh dirampas daripada BN sekiranya gerak kerja dilakukan dengan kemas dan baik.

Apa yang penting menurutnya, jika peranan Pas diberi tumpuan sebaik mungkin, bukan hanya menzahirkannya sebagai parti politik malah sebagai sebuah gerakan Islam, keputusan lebih positif mungkin berpihak kepada parti itu.

“Telemong, Ajil dan Kuala Berang, tidak mustahil untuk kita menang jika kita dapat sampaikan dakwah (ke semua peringkat),” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Hulu Terengganu Kali Ke-32, di Markaz Tarbiyyah Pas Kubang Lembek, di sini.

Telemong, Ajil dan Kuala Berang merupakan tiga daripada empat Dun dalam Parlimen Hulu Terengganu yang berjaya dipertahankan BN pada pilihan raya umum lepas, manakala Pas hanya berjaya kekalkan kerusi Dun Manir.

Sementara itu, dalam memastikan pengaruh Pas terus kukuh, pihaknya turut menekankan gerak kerja pendaftaran pemilih dilakukan secara proaktif bagi memastikan kesemua penyokong Pas yang layak mengundi menunaikan hak sebagai pengundi menjelang PRU14.

Jika penekanan terhadap aspek itu tidak diberi perhatian, beliau bimbang penyokong-penyokong Pas yang layak mengundi tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih, sekali gus membawa kerugian kepada parti.

“Sebab itu saya tekankan Pas supaya ahli-ahli kita, kaum keluarga dia, anak-beranak dia, jiran-jiran dia terutamanya penyokong Pas, ahli-ahli Pas supaya mendaftar pemilih. Daftar sebagai pemilih barulah ada hak untuk menentukan kerajaan, wakil rakyat dan sebagainya. Itu antaranya penekanan dia.

“Walaupun kita ini parti Islam, kita menekankan dari sudut demokrasi dan sistem pilihan raya yang kita sertai,” katanya.


Tiada ulasan: