Khamis, 28 April 2016

Murid dipatuk ular di tandas sekolah

FREE MALAYSIA TODAY


Keadaan Muhammad Aryyan Nazhan Mohd Nasrul, 7, dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan segera


Kamalanathan_ular_600


JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan mengesahkan seorang lagi murid menjadi mangsa patukan ular, ketika berada di tandas Sekolah Kebangsaan Kota Masai, dekat Pasir Gudang, semalam.

Bagaimanapun, Muhammad Aryyan Nazhan Mohd Nasrul, 7, dilaporkan stabil setelah mendapat rawatan segera.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan yang memaklumkan perkara itu berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika mangsa yang mengikuti persekolahan sesi petang, berada dalam tandas tingkat tiga seorang diri.

Katanya, sebaik menyedari dipatuk di tapak tangan kiri, murid berkenaan terus memaklumkan kejadian itu kepada gurunya yang segera menghantar mangsa ke sebuah klinik 1Malaysia, sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail.

“Keadaannya sudah stabil, kerana ular tersebut tidak berbisa dan pihak sekolah juga telah menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mencari ular berkenaan di kawasan tersebut.

“Kita mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah, kerana bertindak pantas dalam kejadian ini,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau, hari ini.

Kes patukan ular tidak lagi asing sejak kebelakangan ini. Ia berlaku di beberapa negeri sehingga turut mengakibatkan kematian seorang murid tahun satu, Nuri Nadirah Ruslan, 7, di Kelantan, pada 19 April lalu.

Kamalanathan berkata, pihaknya telah meminta pihak sekolah mengurangkan aktiviti luar kelas, bagi mengelakkan kes sama berulang.

Mengenai lawatannya, beliau memberitahu, projek pembinaan bangunan baru SJKT Ladang Tebrau di sini sudah 70 peratus siap dan dijangka boleh beroperasi pada September nanti.

Katanya, bangunan baru itu yang menelan belanja RM6.8 juta, boleh menempatkan 302 murid, selain enam bilik darjah dan beberapa bilik khas lain, seperti pusat sumber. BERNAMA

Tiada ulasan: