Sabtu, 23 April 2016

Kerajaan tak masuk campur 1MDB bermasalah bayar AS$50 juta

 
Kerajaan hanya memantau isu itu dan berharap 1MDB dan IPIC menyelesaikan bayaran faedah tersebut secepat mungkin.


1mdb-ipic-johari


KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak akan campur tangan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dilapor menghadapi masalah membayar faedah berjumlah AS$50 juta.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, isu pembayaran faedah AS$50 juta itu tidak melibatkan kerajaan.

“Ia tidak melibatkan kerajaan. Tetapi kerajaan mengambil maklum berhubung isu berkenaan. Di peringkat ini, saya rasa, kita tidak akan masuk campur.

“Kita akan biarkan 1MDB dan IPIC untuk selesaikan (pembayaran faedah AS$50 juta) antara mereka,” katanya pada sidang medianya selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Baru di sini hari ini.

Baru-baru ini akhbar The Straits Times Singapura melaporkan, 1MDB menghadapi risiko gagal membayar faedah berjumlah AS$50 juta apabila IPIC tidak lagi bersedia untuk membayar faedah bon yang diterbitkan 1MDB.

Menurut laporan itu, 1MDB perlu menjelaskan bayaran faedah AS$50 juta kepada pemegang-pemegang bon bagi bon AS$3.5 bilion yang diterbitkannya pada 2012.

Johari yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa menambah, kerajaan akan memantau perkembangan isu terbabit dan akan ‘melihatnya’ sekiranya wujud sebarang masalah.

Menurutnya, ini kerana transaksi yang melibatkan kedua-dua syarikat itu adalah lebih kepada pertikaian faedah.

“Biarkan mereka selesaikan. Tetapi kita akan memantau supaya isu ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya sambil menegaskan kerajaan belum membayar faedah AS$50 juta itu.

“Kita belum lagi bayar (faedah AS$50 juta). Kita hanya bayar faedah-faedah yang dihutang oleh kerajaan atau komitmen kerajaan. Yang tu kita bayar,” katanya.

Tiada ulasan: