Rabu, 13 April 2016

Dedahkan sepenuhnya laporan siasatan 1MDB - Ku Li

Muhafandi Muhamad, Astro Awani
 
Dedahkan sepenuhnya laporan siasatan 1MDB - Ku Li
Menurut Ku Li (gambar), penjelasan mengenai laporan itu perlu dibuat oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan pengurusan 1MDB. - Gambar fail
 

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berharap laporan siasatan mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedahkan sepenuhnya.

Menurut Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li, pendedahan sepenuhnya laporan siasatan mengenai syarikat pelaburan strategik itu dapat menamatkan segala syak wasangka dan tohmahan terhadap kerajaan.

"Kita harap perkara ini didedahkan sepenuhnya lah, jadi kalau patut diambil tindakan pihak pengurusan lah.

"Saya rasa sekarang untuk memperbetulkan keadaan dan syak wasangka yang ada kepada rakyat mesti dijelaskan," kata Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Masjid Mukim Bandar Lama di sini, pagi tadi.

Tambahnya, penjelasan mengenai laporan itu tidak perlu dibuat oleh ahli-ahli UMNO sebaliknya mereka yang terlibat secara langsung dengan pengurusan 1MDB.

"Siapa saja yang didapati bersalah mesti diambil tindakan kerana jumlahnya besar dan kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat," katanya.

Bekas Menteri Kewangan ini juga turut menjelaskan mengapa beliau berdiam diri dan tidak bercakap mengenai 1MDB sebelum ini.

"Sebelum ini saya tidak bercakap kerana masih belum terima laporan.

"Sekarang sudah siap laporan daripada Ketua Audit Negara dan PAC telah menyemak laporan dan telah membentang pendapat oleh Ketua Audit Negara," ujarnya.

Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis minggu lalu.

Antara lain, PAC mengesyorkan pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan.

BACA: Semua dokumen berkaitan Aabar BVI telah diberi kepada Jabatan Audit - 1MDB
BACA: Laporan PAC mengenai 1MDB dibuat sebulat suara - Pengerusi PAC

BACA: 1MDB: Najib tidak disebut dalam laporan PAC kerana tiada bukti salah laku - Hasan Arifin


Tiada ulasan: