Khamis, 14 April 2016

Bila KPN mahu arahkan Arulkanda disiasat?

MALAYSIA DATELINE


Rafizi RamliRafizi RamliKetua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mengambil tindakan segera menahan Arulkanda Kandasamy dan mana-mana pengurusan kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  untuk mempercepatkan siasatan, desak Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Beliau berkata,  tidak pasti sama ada pihak polis telah mengambil sebarang kenyataan daripada Arulkanda selaku Ketua Pegawai Ekesekutif  atau mana-mana pengurusan kanan 1MDB.

"Tindakan tidak menahan Arulkanda itu berbeza dengan layanan polis terhadap saya.

"Saya ingin mengingatkan Ketua Polis Negara segala tindak tanduk beliau berhubung isu 1MDB diperhatikan oleh rakyat.

"Jika saya boleh ditahan tujuh jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat, kenapa sehingga sekarang Ketua Polis Negara belum mengeluarkan arahan agar Arulkanda juga ditahan untuk siasatan lanjut kerana sudah dua minggu berlalu sejak saya membuatlaporan polis terhadap Arulkanda dan pengurusan kanan 1MDB." ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Rafizi lagi, apa yang penting Jabatan Audit Negara mengesahkan dokumen yang beliau dedahkan adalah dokumen yang sahih, maka sudah tentu maklumat yang terkandung juga adalah sahih.

Ini mengesahkan bahawa Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB telah membuat pembayaran RM288 juta tanpa dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah terlebih dahulu dan asas yang kukuh untuk memulakan siasatan terhadap mereka.

"Saya akan menunggu sehingga Jumaat 15 April ini untuk melihat sama ada Ketua Polis Negara akan mengarahkan Arulkanda Kandasamy ditahan untuk siasatan lanjut sebelum saya memulakan langkah-langkah lain berhubung perkara ini," tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat ini.

Tan Sri Khalid Abu BakarTan Sri Khalid Abu BakarMenurut Rafizi lagi, pada 30 Mac beliau telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Arulkanda dan pengurusan kanan 1MDB berhubung satu maklumat dari Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan sejumlah RM288 juta telah dibelanjakan tanpa dimaklumkan dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Beliau membuat laporan tersebut supaya satu siasatan dapat dijalankan dengan segera untuk menentukan sama ada satu kesalahan jenayah telah dilakukan kerana sebarang pembayaran atau perbelanjaan sebesar itu memerlukan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Siasatan itu juga penting kerana selama ini Arulkanda dakwanya sering memberi alasan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai pelbagai salah tadbir kewangan di 1MDB kerana ia berlaku sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Maka, urusniaga RM288 juta tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah 1MDB itu kini menjadi satu bukti bahawa di bawah pengurusan Arulkanda pun keputusan dan urusniaga yang meragukan dan boleh disifatkan melanggar undang-undang, masih terus berlaku.

"Laporan polis terhadap saya dibuat oleh Jabatan Audit Negara sekitar jam 11 pagi pada hari Selasa, 5 April. Saya dimaklumkan bahawa arahan untuk menahan saya dikeluarkan sekitar jam 4 petang pada hari yang sama iaitu lima jam selepas laporan polis dibuat.

"Saya kemudiannya ditahan pada jam 6 petang pada hari yang sama iaitu tujuh jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat," ujar Rafizi.

Tiada ulasan: