Jumaat, 1 Mei 2015

2 Beradik Gagal Dikesan di Nepal Tiba di Malaysia

RAKYATNEWS


 


SEPANG - Terpaksa bersesak dengan ribuan manusia di Lapangan Terbang Tenzing Hillary Lukhla, Nepal sejak Isnin lepas, akhirnya dua beradik wanita rakyat Malaysia yang dilaporkan gagal dikesan selepas kejadian gempa bumi kuat di negara itu pada 25 Mei lalu, tiba di tanah air malam Sabtu lepas.

Mereka ialah Gan Siew Fern atau Jane, 27; dan adiknya Gan Siew Mei atau June, 26; yang gagal dikesan sebelum ini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 10.27 malam Sabtu menaiki pesawat AirAsia X, D7 193.

Jane berkata mereka yang berada di Lukhla untuk aktiviti pendakian ke kaki Gunung Everest (Base Camp) terpaksa bersesak-sesak untuk mendapatkan tiket penerbangan domestik ke Kathmandu.

"Ia satu pengalaman yang menyeksakan kerana terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan orang dalam keadaan yang kadang-kala bekalan elektrik terputus dan talian telekomunikasi yang terhad.

"Kami menunggu sejak Isnin dan hanya hari ini kami mendapat tiket dari Lukhla ke Kathmandu dan meneruskan penerbangan ke Malaysia malam Sabtu.

"Terima kasih kepada wakil kedutaan Malaysia di Kathmandu yang dikenali dengan nama Fadli kerana membantu kami...Tanpa pertolongan beliau, saya rasa kami tidak dapat pulang ke Malaysia lagi," katanya ketika ditemui di sini malam Sabtu.

Kedua beradik itu ke Nepal pada 21 April dan berjaya sampai ke Base Camp sebelum berlaku gempa bumi.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu.

Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku. Setakat in, tragedi gempa bumi paling buruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu dilaporkan telah mencatat kira-kira 5,000 kematian dan kira-kira 8,000 orang cedera.


Tiada ulasan: