Rabu, 18 Disember 2013

Umno celaru minta salam 1Melayu, kaji semula BR1M



Oleh RAYUSA



ADA dua cadangan yang menarik perhatian dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 (PAU 2013) di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur dari 3 hingga 7 Disember lalu.

Pertama, cadangan perwakilan dari Pulau Pinang, Dato’ Musa Sheikh Fadzir agar salam 1 Melayu menggantikan salam 1 Malaysia kerana kaum lain tidak membantu Umno negerinya.


Kedua, cadangan pemimpin Umno Wilayah Persekutuan, Shafei Abdullah agar kerajaan mengkaji semula pemberian BR1M untuk diberi kepada penyokong Umno serta Barisan Nasional sahaja, tidak penyokong Pakatan Rakyat. Musa menceritakan pengalamannya “ditikam” oleh kaum lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Katanya, Umno bertungkus-lumus menyokong calon parti tersebut bertanding, tetapi parti berkenaan tidak berbuat perkara yang sama di kawasan calon Umno.

Kenyataan Musa yang juga ketua Umno Bukit Mertajam itu mengundang kontroversi dan tidak disenangi oleh ahli parti komponen BN sendiri.

Walaupun tidak menyebut nama, masih dapat diteka kaum mana, apatah lagi beliau merujuk pada  parti majoriti kaum lain yang bersekutu dengan Umno.

Ternyata telahan tersebut benar kerana sehari selepas itu (6 Disember lalu), Gerakan Pulau Pinang menggesa Umno mengarahkan Musa meminta maaf dan menarik balik cadangannya.

Menurut setiausaha Gerakan negeri, Oh Tong Keong, kenyataan rasis itu merosakkan semangat 1 Malaysia. Katanya, Musa tidak wajar dibenarkan kekal dalam Umno kerana boleh merosakkan perkongsian dalam BN dan perpaduan nasional.

Oh mendesak kepimpinan tertinggi Umno mengarahkan Musa menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada bukan Melayu. Beliau menganggap orang yang rasis seperti Musa ketinggalan zaman serta tidak patut terus berada dalam Umno dan BN kerana akan menyebabkan parti pemerintah itu semakin ditolak.

Anehnya, Musa berdolak-dalik pula sambil bertegas tidak akan meminta maaf kepada Gerakan.
Beliau menjelaskan bahawa saranan 1 Melayu hanya dalam konteks PAU 2013 dan bukan untuk menggantikan konsep 1 Malaysia, ciptaan Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Musa mengatakan beliau tidak mahu menukar 1 Malaysia dengan 1 Melayu, sebaliknya bertujuan menyatukan orang Melayu. Sambil menasihatkan agar Gerakan bertenang, beliau bertanya di mana pemimpin parti tersebut semasa Jeff Ooi dari DAP menggelar pegawai bawahan Majlis Perbandaran Pulau Pinang sebagai “kucing kurap” dan pihak yang mendakwa Pendaftar Pertubuhan adalah “anjing” Umno.

Tegas Musa, Ooi tidak perlu menjadi wira kerana PAU 2013 adalah perhimpunan orang Melayu dan orang Melayu berhak bercakap mengenai 1Melayu.

Beliau menganggap kenyataan Ooi tidak adil lantaran tidak memahami konteks perhimpunan tahunan Umno itu.

Kontroversi tersebut turut menunjukkan betapa kegagalan 1 Malaysia enggan diterima oleh beberapa orang pemimpin kanan Umno sendiri.

Walaupun menolak cadangan agar salam 1Malaysia ditukar kepada salam 1Melayu kerana ia menyanggahi niat sebenar Umno dan hanya pendapat peribadi, rata-rata mereka menganggap cadangan itu tidak bersifat rasis, sebaliknya cuma kata-kata semangat bagi menyatukan ahli parti.

Menurut Naib Presiden Umno, Dato’ Shafie Apdal, seruan untuk perpaduan sesama bangsa tidak rasisme, sebaliknya penting dalam perjuangan parti.

Kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, kekuatan dan kesinambungan Umno selama ini ialah orang Melayu. Jadi, tegas beliau, Umno tidak wajar melupakan asalusul mereka bagi memastikan bukan sahaja sokongan masa kini, tetapi untuk menambah sokongan orang Melayu pada masa hadapan.

Shafie menafikan 1 Malaysia yang dibawa oleh Najib pada tahun 2009 gagal. Beliau tidak mahu mengatakan gagasan itu terbantut, tetapi menganggap ia juga adalah alat di mana rakyat boleh bersatu melalui kerjasama dan saling memahami.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Bung Mokhtar Radin pula berkata, pandangan yang berbeza dalam parti tidak semestinya sesuai digunakan oleh parti.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga berdolak-dalik apabila cuba menjelaskan beliau tidak menolak 1 Melayu kerana itu adalah pandangan perbahasan dan tentu ada persepsi berbeza.

Tegas Bung, beliau melihat cadangan tersebut tidak menepati keadaan semasa negara kerana Umno berkongsi kuasa dengan kaum lain. Katanya, 1 Malaysia masih relevan dan berjaya dalam aspek penerapan senegara, meskipun gagal menawan hati pengundi Cina.

Beliau mendakwa bangsa lain tidak akan ditinggalkan begitu sahaja kerana mereka turut berjuang mati-matian untuk negara.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir yakin idea mengubah 1 Malaysia semasa pentadbiran Najib tidak akan mendapat sokongan. Mungkin dalam konteks PAU, katanya, itu dicadangkan, tetapi dalam konteks seluruh Malaysia, 1 Malaysia yang dipelopori oleh Najib masih dipegang dan diikuti.

Sementara itu, cadangan Shafei agar BR1M hanya diberikan kepada penyokong Umno serta BN sahaja menunjukkan ketidakfahaman mengenai perbezaan di antara wang parti dengan wang kerajaan, selain keburukan hati pemimpin parti tersebut.

Shafei boleh dianggap mewakili mentaliti pemimpin Umno keseluruhannya yang menganggap wang BR1M adalah kepunyaan parti itu hingga tidak boleh diberikan kepada bukan ahli atau penentang.
Mereka lupa wang BR1M itu adalah wang kerajaan untuk semua rakyat tanpa mengira ideologi politik.

Tiada ulasan: