ASPAN ALIAS
Keadaan politik semakin hari
semakin rumit walaupun telah melalui pemilihan dalam pilihanraya yang lalu.
Tidak ada perkara yang tidak dipertengkarkan dan tidak ada pula penyelesaiannya
sehingga hari ini. Kita mengharapkan selepas sahaja pilihanraya yang lalu
semuanya akan kembali teratur dan tidak menyemakkan pemikiran orang ramai lagi.
Tetapi ia masih menjadi masalah kerana semua pihak menjadikan semua perkara
sebagai masalah.
Tiada satu pihak pun yang berasa
aman kerana setiap hari ada sahaja isu yang berbangkit dan menjadi polimik
politik rakyat. Kita mesti memahami yang hidup kita bermasyarakat. Apabila
hidup bermasyarakat, kita tidak boleh bebas dalam semua hal kerana kita perlu
memahami perasaan semua pihak dan tidak boleh melakukan semua perkara sesuka
hati.
Negara kita telah diabaikan
sebegitu lama kerana menumpukan hanya kepada pembangunan fisikal yang dianggap
satu-satunya cara untuk ‘nation building’. Apabila terbangun bangunan yang
tinggi-tinggi dan jambatan yang panjang-panjang itu dianggapnya mencukupi untuk
membangunkan sesebuah negara.
Pembangunan insan yang berkualiti
diabaikan, perhubungan diantara kaum bukan sahaja dibiarkan merosot malahan isu
perkauman dimainkan kerana politik bangsa-bangsa mereka sendiri yang dilakukan
oleh kedua-dua belah pihak yang bertentangan. Pihak yang memerintah pula
memainkan isu perkauman untuk menuntut bangsanya bersatu dan sentiasa
menakut-nakutkan orang Melayu tentang bahayanya ‘invasions’ bangsa lain dalam
ekonomi dan politik.
Di pihak yang lain dari pembangkang
pula tidak bercakap secara terbuka memainkan isu perkauman mereka tetapi memainkannya
dengan senyap untuk mengaut segala-galanya melalui tindakan halus yang sangat merbahaya
dan menakutkan bangsa lain. Mereka tidak mahu mengikut semangat kebangsaan negara
dan tidak mengikuti dalam membina
semangat perpaduan yang akan menyatukan negara sebagai matlamat
‘ultimate’ kita semua.
Khairy telah menyebutnya dalam
ucapan beliau dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini yang menuduh
syarikat-syarikat bukan Melayu tidak gemar mengambil bangsa Melayu sebagai
kakitangan pengurusan syarikat mereka. Syarikat-syarikat ini menyekat penglibatan
orang Melayu dalam ‘conglomerates’ mereka dengan menekan kemahiran berbahasa
mandarin sebagai syarat untuk berkerja dalam syarikat mereka. Kita boleh
melihat buktinya jika kita meneliti iklan-iklan peluang perkerjaan dalam
akhbar-akhbar tempatan kita.
UMNO tidak mengambil perhatian
dalam isu ini, dan tidak ramai pun yang sedar tentang berlakunya perkara
sebegini dalam negara kita, dan ini adalah satu fenomena baru dalam industri
pekerjaan-pekerjaan di negara ini.
UMNO sepatutnya menjadikan
tindakan negatif bangsa bukan Melayu ini sebagai cabaran dan mengusahakan dalam
membentuk dasar yang boleh membina bangsa Melayu yang diperjuangkannya dengan
menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa yang wajib lulus atau
setidak-tidaknya menjadi mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua bangsa
termasuk bangsa Melayu disamping mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa
kebangsaan kita.
UMNO sepatutnya menerima ini
sebagai cabaran dan untuk kebaikan bangsa Melayu yang lebih progresif dari
memendam rasa sedih dan pilu kerana ‘apa yang orang Cina buat kepada mereka’.
Tidak berhenti memekik tetapi tidak pula mahu menambah kekuatan dengan ilmu
tambahan seperti memahirkan diri berbahasa Mandarin ini.
Walaupun tindakan kaum itu boleh
diandaikan sebagai ‘insubordination’ terhadap dasar kerajaan negara kita, orang
Melayu pimpinan UMNO wajar mengambilnya sebagai cabaran untuk kebaikan
bangsanya sendiri bukanya mundar mandir dengan marah-marah.
Apa yang disebut Khairy dalam
Perhimpunan itu ada kebenarannya yang jelas. Tetapi Khairy mesti berusaha untuk
menjadikan isu ini sebagai peluang untuk memperbaiki orang Melayu, khususnya
yang muda-muda untuk meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bahasa Mandarin
ini.
Orang muda mungkin tidak melihat
bagaimana orang Cina sangat tidak berpuas hati apabila bahasa Melayu ini dijadikan
bahasa wajib dalam sekolah-sekolah kebangsaan dan menjadi syarat lulus untuk
mendapatkan sijil persekolahan mereka. Tetapi dalam mereka tidak berpuas hati
mereka mengambil cabaran ini dan dalam masa kurang dari sedekad anak-anak muda
bangsa Cina telah mahir dalam bahasa Melayu dan telah menyaingi malahan
melebihi pencapaian dalam bahasa Melayu ini dari orang melayu sendiri.
Cucu saya sendiri mengambil ‘tuition’
bahasa melayu dengan seorang guru dari bangsa Cina. Inilah cabaran bagi orang
Melayu untuk bersaing bukannya untuk merungut dan merasa rendah diri
sehinggakan memekik kehulu kehilir memainkan sentimen perkauman yang menebal.
Kita belajarlah secara
beransur-ansur dan tidak perlu bergegas jika tiada kemampuan untuk bergegas
itu. Kata orang tua-tua, ‘kerja beransur tidak bertahan’. Ia akan tetap
mendapat kejayaan.
Kepada mereka yang berebut-rebut
hendak kuasa itu, buatlah kerja dan penuhi tanggungjawab setelah mendapat kuasa
dan tempat yang tinggi itu. Jangan pula menjadi dedalu yang hanya hidup diatas kesusahan dan pengorbanan orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan