Isnin, 16 Disember 2013

Syiah: Jakim salah fakta


 
Kenyataan Jakim bahawa amalan Syiah berkembang di Tanah Melayu selepas Revolusi Iran ialah menunjukkan Jakim tidak memahami Syiah.




PETALING JAYA: Dua hari lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menegaskan bahawa semua ajaran dan fahaman Syiah menyeleweng daripada pegangan Ahl Sunnah Wal Jamaah (AWSJ) dan hukum syarak.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha (gambar)  berkata kajian jabatannya mendapati bahawa Syiah berasaskan ajaran Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah atau Imam Dua Belas aktif selepas Revolusi Iran pada tahun 1979.

Jabatan tersebut turut mengenal pasti seramai 1500 pengikut Syiah.
Menurutnya penyelewengan ajaran Syiah Imam Dua Belas ialah seperti berikut:
a) meyakini imam adalah maksum iaitu terpelihara daripada sebarang dosa
b) mengkafirkan para sahabat Rasulullah (c) tiada solat Jumaat
d) mengharuskan jamak solat fardu dalam semua keadaan
e) menghalalkan nikah muta’ah (f) penyanjungan keterlaluan kepada Saidina Ali ibu Abi Taib sehingga disamatarafkan dengan Rasulullah, Nabi Muhammad saw
(g) menambah nama Saidina Ali dalam kalimah syahadah selepas nama Nabi Muhammad.

Walau bagaimanapun, kajian antropologi dan sosiologi menunjukkan bahawa pengikut Syiah wujud di Tanah Melayu sejak berkurun lamanya sebelum tercetusnya Revolusi Iran.

Ini menunjukkan bahawa pihak Jakim tersilap di dalam kajian mereka.

Menurut satu rencana jurnal bertajuk “The Malaysian Shi’a: A Preliminary Study Of Their History, Opprsssion and Denied Rights” di dalam Journal Of Shi’a Islamic Studies Jilid 6,No 4, 2013, ajaran Syiah tiba di Malaysia seawal abad ke-tujuh ketika dunia Melayu menerima Islam.

Mazhab Ahl – Sunnah Wal Jamaah pula tiba ke dunia Melayu dalam abad ke 13.

Bukti paling kukuh berkenaan kedatangan pengaruh Syiah ini wujud di dalam Batu Bersurat Terengganu.  Batu bersurat ini juga menunjukkan bukti kedatangan terawal Islam ke Tanah Melayu.
 Ia berusia lebih 700 tahun dan menggunakan skrip tulisan Jawi.

Bukti pengaruh Syiah di dalam Batu Bersurat Terengganu ialah perkataan ‘Santabi’ atau ‘Sahabi’.
Kajian dari sudut bahasa terhadap perkataan tersebut menunjukkan bahawa ia kata pinjaman dari Bahasa Sanskrit, ‘Sanabhya’ yang bermaksud hubungan darah.

Berdasarkan penterjemahan ini jelas terdapat pengaruh Syiah di dalam Batu Bersurat Terengganu kerana ia tidak merujuk kepada para sahabat Nabi Muhammad saw tetapi ahli keluarga baginda.

Antara tuduhan yang kerap dilontar terhadap masyarakat ialah yang berkaitan dengan solat.  Ada yang mendakwa bahawa Syiah hanya solat tiga waktu (telu) bertentangan dengan rukun Islam kedua.

Fiqh Jafari di dalam ajaran Syiah menyatakan bahawa Syiah juga menunaikan solat lima waktu. Yang berbeza hanyalah waktu solat.

Waktu Asar pengamal Syiah bermula sejurus selepas Zohor. Waktu solat Maghrib pula bermula sejurus selepas Asar.  Amalan ini berbeza dengan ASWJ di mana waktu solat Asar ialah sekitar pukul 4 dan Maghrib bermula pada waktu matahari terbenam.

Ajaran Syiah juga tidak menyamatarafkan Saidina Ali sebagaimana yang didakwa Jakim. Selain itu imam tidaklah maksum sebagaimana dakwaan Syiah.

Pengikut Syiah menerima fakta bahawa Nabi Muhammad saw menerima wahyu daripada Allah swt.
Imam merujuk kepada Imam 12 iaitu Ali ibn Abi Taib , Hasan ibn Ali (Al-Mujtaba), Hussein ibn Ali (Sayyid as Syuhada), Ali ibn Hussein (al-Sajjad), Muhammad ibn Ali (Baqir al-ulum), Ja’far ibn Muhammad (As – Sadiq), Musa ibn Ja’far (al-Kazim), Ali ibn Musa (Ar-Redza), Muhammad ibn Ali (Al-Taqi), Ali ibn Muhammad (Al-Hadi), Hasan ibn Ali(Al-Askari) dan Muhammad ibn Hasan (Al-Mahdi).

Imam 12 dianggap sebagai pemimpin yang menjaga kesucian Islam.

Lihat juga:
Jakim kenal pasti 1500 pengamal Syiah

Tiada ulasan: