Ahad, 8 Disember 2013

PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa

A Kadir Jasin



DALAM banyak-banyak tajuk berita media arus perdana dan media baru mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir semalam, satu yang menjadi bahan perbualan adalah puji-pujian yang Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak curahkan kepada isterinya, Rosmah Mansor.

Berucap menggulung perbahasan pada 7 Disember, Mohd Najib memuji Rosmah kerana jasanya kepada negara (baca di sini).

Dia menyebut dua peristiwa di mana Rosmah membantu negara. Pertama, menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip.

Kedua menggunakan hubungan baiknya dengan keluarga di raja Arab Saudi bagi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara tanpa visa.

Berpandukan maklumat Mohd Najib itu, eloklah beliau menimbang semula kedudukan Menteri Luar Negeri, Anifah Aman, kerana ternyata beliau tidak seberkesan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.

Begitu juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Mustapa Mohamed, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelajaran, Muhyiddin Mohd Yassin, kerana Rosmah juga terlibat di sana sini dalam tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri-menteri berkenaan.

Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri-menteri yang tidak “perform” dan sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian.

Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata.

Lembu kena penyakit kuku dan mulut (FMD)

Walaupun PRU telah berlalu, PM dan penyokong-penyokong Rosmah masih boleh melakukannya dengan melantik beliau Senator dan seterusnya menteri.

Apabila ini dilakukan, tidak ada siapa boleh membantah campur tangan beliau atau menuduh suami beliau dan Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan beliau menggunakan kemudahan kerajaan. Jawatan yang sesuai bagi belia ialah Menteri Tugas-Tugas Khas.

Tetapi saya sangat kecil hati dengan salah seorang penyokong PM yang menuduh semua lelaki, kecuali Mohd Najib, tidak sayangkan bini. Saya bantah sekeras-kerasnya tuduhan beliau itu.

Media massa melaporkan wakil Wilayah Persekutuan, Affandi Zahari sebagai berkata bahawa isteri Perdana Menteri elok dibenarkan menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi ketenangan kepada suaminya.

“Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak akan tanggung sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang dengan pesawat komersial?” kata beliau.

Menurut laporan, Affandi berhujah sedemikian bagi mempertahankan Rosmah yang dikritik kerana menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk perjalanannya.

Kata Affandi, kalau Rosmah berada dalam jet eksekutif, Mohd Najib tidak perlu bimbang keselamatannya dan menambah yang orang bodoh pun tahu terbang dengan jet eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial, tetapi kita kena lihat daripada aspek keselamatan.

"Bayangkan tekanan emosi ke atas PM jika sesuatu (yang buruk) kepada isterinya.

"Dia sayangkan isterinya, tidak seperti lelaki-lelaki lain.” (Baca di sini).

Tidak mengapalah kalau Affandi hendak pertahankan Mohd Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU. Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki-lelaki lain tidak sayang (love) isteri, saya rasa itu satu cemuhan dan penghinaan yang sangat dahsyat.

Takkan lah Osman Koping (tu bulan tu bintang, atas pokok kayu ara, tu dia sudah datang orang korporat kampung kita – seloka Johan Jaaffar) tak “love” bini?

Cuma sebagai penggali kubur (yang mengaku ahli korporat) tentulah Osman Koping tidak mampu membayar isterinya terbang dengan jet eksekutif tidak kira sehebat mana “love” beliau kepada isterinya.

Nenek moyang kita yang bijaksana dan budiman mengingatkan kita tentang sokong yang membawa rebah. Wallahuaklam.

Tiada ulasan: