Rabu, 18 Disember 2013

Saingan sebenar akhbar cetak masa kini




Oleh ANIS NABILAH CHE MOHD YUSOFF, INTAN SHAFINAZ MOHD AZMI dan NOR AINMAR SHAHIDA CHE OMAR



AKHBAR berperanan penting dalam sesebuah masyarakat.Malahan akhbar boleh dianggap satu medium yang berupaya mengubah persepsi masyarakat yang miskin dengan ilmu pengetahuan semasa. Walaupun akhbar dahulu dan sekarang jauh berbeza, tetapi fungsinya tetap sama iaitu sebagai perantara antara masyarakat dan dunia luar.


Jika pada era 1990-an, setiap organisasi akhbar berbangga dengan kenaikan jumlah pembacanya setiap tahun, tetapi kecemerlangan masa lalu tidak semestinya menjadi penentu masa depan dalam industri persuratkhabaran.

Kini, penurunan jualan akhbar tahun demi tahun sudah menjadi realiti dunia persuratkhabaran.
Sesungguhnya, akhbar sekarang sedang berhadapan dengan krisis kejatuhan.

Zaman berubah,generasi berubah, dan teknologi berubah. Pemilikan peranti digital dan internet menjadi pilihan generasi kini. Generasi kini bukan lagi generasi yang menyelak helaian surat khabar untuk mendapatkan berita tetapi generasi kini menyentuh skrin sebesar tapak tangan untuk semua ini.

Kemunculan teknologi ini sekali gus telah mengubah corak penerimaan pembaca.

Jika dulunya pembaca harus meluangkan waktu mereka untuk keluar membeli surat khabar, tapi kini dengan hanya menekan butang “enter” di komputer ataupun di telefon pintar, segala berita tidak kira dari luar atau dalam negara terpampang di depan mata.

Platform yang menghubungkan akhbar dengan masyarakat sesungguhnya telah jauh berubah.

Eric Schmidt, bekas CEO pertama Google dalam ucapannya pada 1 Julai 2010 berkata, beliau meramalkan surat khabar pada masa akan datang lebih banyak didapati dalam bentuk bacaan dalam talian kesan pesatnya sambutan pengguna terhadap telefon bimbit dan tablet.

Setiap orang menggunakannya untuk mendapat maklumat, berhubung serta berhibur secara peribadi. Ucapan itu diberi dua tahun lalu. Kini, apa yang dikatakan Schmidt ternyata adalah kenyataan.

Pertumbuhan teknologi yang menyumbang kepada kejatuhan jualan akhbar cetakan sebenarnya bukan sahaja hanya dirasai di negara kita. Malah ia terlebih dahulu dialami negara luar contohnya Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah.

Mereka kehilangan pembaca mereka bukan disebabkan kualiti atau kebolehpercayaan yang dipertikaikan tetapi juga kerana fenomena global era digital. Akhbar Washington Post, USA Today, New York Times turut mengalami penurunan jualan ekoran kehilangan pembaca.

Sesungguhnya, penurunan jualan bukan sahaja berlaku kepada akhbar yang dilabelkan sebagai “suara kerajaan.” Malah akhbar suara pembangkang seperti Harakah juga menghadapi krisis penurunan.

Dunia saingan organisasi akhbar bercetak negara ini bukan antara pengamal politik, bukan juga antara kekuatan tampuk penguasaan tetapi saingan yang sebenar bagi organisasi akhbar bercetak adalah media di internet contohnya Facebook, blog dan akhbar digital.

Ia merupakan cabaran utama bagi media terutamanya akhbar. Media sosial bukan sahaja pantas menyampaikan maklumat malah dianggap lebih telus, terbuka, bebas dan demokratik terutamanya dalam isu yang membela kepentingan rakyat.

Sesungguhnya, pada era kebangkitan media sosial ini, semua peneraju organisasi akhbar harus realistik terhadap kemahuan pembaca. Mereka mahukan sebuah media yang berperanan sebagai suara rakyat. mereka mahukan sebuah ketelusan berita terutama dalam bab politik.

Tidak ada yang boleh dilindungkan atau dibohongkan daripada rakyat. Tiada seorang pun yang berupaya menyekat penggunaan media sosial kecuali menghentikan jaringan internet seperti yang terjadi di Korea Utara.

>> Penulis-penulis adalah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: