Isnin, 23 Disember 2013

Lebih 20 cedera termasuk 2 rakyat Malaysia

SINAR HARIAN

Dua bom motosikal meletup di Songkhla  
 
Foto sumber Twitter


BANGKOK - THAILAND. Dalam satu siri serangan bom terancang di kawasan berhampiran sempadan Thailand dan Malaysia hari ini, empat bom telah diletupkan dan dua darinya mencederakan 24 hingga 26 orang termasuk dua rakyat Malaysia. 
 
Mengulas kejadian itu, Gabenor Wilayah Songkhla Krisada Boorat berkata ia dilakukan pihak yamg ingin mencetuskan huru hara pada hujung tahun.

Beliau berkata pihak keselamatan akan melakukan rondaan dan pemeriksaan di setiap pintu masuk ke daerah Hatyai untuk menyekat kereta suspek selepas mendapat maklumat risikan yang puak pemisah akan mengebom tempat pelancongan di Hatyai.

Dalam kejadian pertama antara 10.30-10.40 pagi, sebutir bom yang diletakkan di sebuah motosikal telah diletupkan di hadapan Balai Polis Padang Besar yang berada berdekatan sempadan dengan Malaysia.

Ia merosakkan lima motosikal tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Bom kedua pula diletupkan dalam tempoh yang hampir sama juga diletakkan pada sebuah motosikal yang diletupkan di hadapan Balai Polis Daerah Sadao dan juga tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, antara 24 hingga 26 orang cedera dalam letupan bom ketiga dan keempat pada kira-kira 12.30 tengah hari.

Letupan ketiga di Hotel Oliver dengan bom dipasang pada sebuah kereta dan diaktifkan dengan jam digital dan bom keempat diletupkan di hadapan sebuah kedai di Bukit Kayu Hitam.

Letupan itu juga telah menyebabkan kebakaran, memusnahkan premis perniagaan dan sebahagian dari hotel itu serta kenderaan.

Sementara itu percubaan melakukan keganasan dengan bom juga berlaku di Phuket.

Menurut polis, mereka menemui sebuah kereta yang telah dicuri di Pattani di hadapan sebuah balai polis di Phuket dan di dalamnya ada dua tong gas memasak dengan bahan letupan tetapi bom sempat.

Sementara itu, Pegawai Konsulat Pertama Pejabat Konsulat Malaysia di Sadao, Rozaimi Harun berkata dua mangsa warga Malaysia itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita keturunan Cina.

Identiti kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan, katanya ketika dihubungi. 

Bernama difahamkan mangsa wanita itu telah dihantar ke Hospital Padang Besar, Perlis, manakala mangsa lelaki ke hospital di Pekan Sadao.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau perkembangan insiden pengeboman itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam laman sosial Facebook PDRM berkata keadaan di sana terkawal dan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil, termasuk memperketat pemeriksaan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Orang ramai tidak perlu bimbang namun perlu lebih berhati-hati jika mempunyai urusan di kawasan berkenaan, katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati kawasan letupan dikawal ketat oleh anggota pasukan keselamatan Thailand.

Keadaan di Pekan Danok yang biasanya sibuk dengan pengunjung dari Malaysia setiap hujung minggu, agak lengang petang ini. - Bernama

Tiada ulasan: