Sabtu, 7 Disember 2013

Lawan cukai tanah, bantah GST



Oleh H FANSURI 


PENGALAMAN yang terlalu sedikit mengenai ‘penjajahan bentuk baharu’ di Kuala Lumpur berhubung tujuh buah kampung warisan ini bukan menafikan hak kita bagi menyelongkar bentuk penjajahan tanah dalam bentuk yang lain pula

Asalnya, daripada 17 buah kampung, kini sudah tinggal 7 buah saja, begitu kata Pak Daud di Kg Puah Seberang, Sentul.

Hari ini, penjajahan ini sudah hadir dalam wajah berlainan -- percukaian berganda dikenakan ke atas para penduduk kampung di ibu kota.

Tanah itu aset bagi mendapat duit. Sama ada tanah itu dirompak secara sah dan terhormat dengan perundangan atas nama kemajuan dan pembangunan, atau dikenakan kadar cukai keterlaluan, maka hajat kaum kapitalis itu adalah wang.

Kini, selepas Raja Nong Chik ditolak penduduk Kg Baru, maka mereka bertemu dengan musuh baru. Dan seteru baru ini didakwa kononnya kerabat diraja.

Terbaru, Tengku Adnan Tengku Mansor, dalam isu percukaian (cukai pintu), katanya, ia tidak akan dinaikkan dengan mendadak.

Bagaimanapun, rakyat perlu hatihati. Jaminan dan janji Umno ini selalu kosong.

Maka, jaminan baru ini secara tidak langsung mengundang tanggapan lain pula, iaitu cukai pintu tetap dinaikkan, tetapi ia dinaikkan secara senyap-senyap dan bukan dinaikkan secara mendadak.

Apa pun, cukai itu tetap naik juga. Bezanya, cuma antara mati mengejut, ajal mendadak tibatiba atau mati perlahan-lahan tanpa sedar. Apakah tidak boleh kadar cukai itu dilaksanakan seperti biasa?
Cukai pintu

Dalam laporan lain, disebutkan bahawa kadar kenaikan cukai pintu itu sudah mencecah 200 peratus lebih. Itu faktanya walaupun kadar cukai sudah naik ‘secara senyapsenyap’ mutakhir ini.

Apakah kenaikan cukai ini pun berpunca daripada praktik dan pelaksanaan dasar kenaikan cukai secara senyap-senyap itu? Boleh jadi juga.

Tengku Adnan mungkin berlapik kata apabila menjawab bahawa kadar baru itu belum lagi muktamad dan notis penyelarasan oleh DBKL itu baru di tahap cadangan sahaja.

Namun, selain itu, beliau turut mengemukakan hujah, kenapa kadar cukai itu dinaikkan. Hal ini kerana, sudah 21 tahun lamanya, tanah itu tidak dinaikkan cukainya, sementara harga hartanah di sini pula sudah melambung tinggi!

Maka inilah alasan Tengku Adnan. Tiadalah tertahan-tahan lagi hati mereka kerana nilai hartanah sudah melambung, tapi mereka tiada berpeluang merebut kekayaan yang terhidang di atas tanah-tanah di ibu kota.

Oleh kerana Tengku Adnan dan Raja Nong Chik itu sering dilihat kerabat diraja, maka kita perlu lihat sejarah pergolakan saat segala kekuasaan raja merebutkan tanah.

Dasar memungut hasil cukai tanah ini pernah dilaksana oleh penjajah British. British itu pula adalah warisan empayar Rom. Dalam sejarahnya, praktik dan amalan percukaian yang tinggi ini pernah berlaku dalam empayar Barat tersebut.

Dan perang pun turut berlaku dalam kalangan Yahudi Palestin yang menolak dasar percukaian ini kerana ia sangat membebankan. Nabi Isa a.s, Yahya a.s. dan Zakaria a.s. pernah hidup pada zaman tadbiran Rom ketika cukai mengazabkan rakyat jelata.

Dalam dakwah rasul, akhirnya ada pemungut cukai Rom yang menjadi Hawariyyun, iaitu sahabat kepercayaan Nabi Isa a.s sendiri. Ertinya jihad melawan percukaian yang tinggi adalah jihad para nabi-nabi juga.

Dalam sejarah Barat, ditemukan lagenda yang bernama Lady Godiva. Wanita bangsawan ini pernah berbogel dan bertelanjang bulat untuk memberikan tekanan ke atas suaminya; seorang bangsawan agar kadar cukai diturunkan.

Cukai bukan tidak perlu, tapi jangan membebankan. Raja Nong Chik, Tengku Adnan perlu menyelak sejarah perjuangan bangsawan Lady Godiva yang turut sama berjuang bagi membela hak rakyat tertindas.

Kita sedar strategi Umno meletakkan bangsawan Raja Nong Chik, dan Tengku Adnan sebagai menteri di Kuala Lumpur.

Kg Baru adalah tanah anugerah Sultan Selangor dahulu. Maka, sentimen bangsawan perlu dihadirkan juga.

Tapi, kesedaran rakyat yang sedang menjalar, manakan boleh disekat-sekat. Penipuan bangsawan yang paling hodoh berlaku, saat umat tidak lagi bodoh. Hijrah umat dari wilayah kebodohan, itu petaka musibah ke atas bangsawan. Ketika muktamar, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru ulama turun ke jalan raya bagi membantah GST.

Ya, salah satu cabaran dan pertanyaan yang sulit dijawab pada akhir zaman adalah: “Apakah kaum ulama akan terjun ke jalan raya demi ummah!?”

Tiada ulasan: