Jumaat, 27 Disember 2013

Kosmetik Sensual Meiji Skin Renewer Cream Dikesan Ada Racun - Kementerian Kesihatan

  MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik Sensual Meiji Skin Renewer Cream yang dikesan mempunyai racun berjadual asid azelaik.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A. Rahman berkata produk yang dikilangkan di Taiwan itu diuji serta dikesan mengandungi racun yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Katanya, produk yang mengandungi asid azelaik, perlu berdaftar dengan PihakBerkuasa Kawalan Dadah, yang bertujuan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagimerawat masalah jerawat dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesionalkesihatan.

"Penggunaan asid tanpa mendapat nasihat kepakaran daripada profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, kegatalan, kesan kemerahan, kulit mengelupas dan perubahan warna kulit," katanya.

Beliau berkata, syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu diarah memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggilbalik kesemua stok produk itu dari pasaran dalam tempoh 72 jam.

"Sesiapa yang mempunyai stok produk itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta merta," katanya.

Eisah berkata, pemilikan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara dan denda RM25,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau berkata syarikat yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 dan hukuman bagi kedua-dua individu ataupun syarikat akan meningkat jika didapati mengulangi kesalahan sama.

Pengguna yang mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik, dinasihatkan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, di talian 03-8835532/5533/5537. - BERNAMA

Tiada ulasan: