Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti tiga buah karya novelis Faisal Tehrani untuk memastikan penulisannya tidak mengandungi unsur fahaman syiah dan menyimpang daripada fahaman Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga karya itu -,Tiga Kali Seminggu, Drama Pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah - masih lagi di peringkat penilaian, dan jika didapati tidak menyalahi fahaman Islam di negara ini, akan dibenarkan diedar untuk bacaan ramai.

NONE"Jika karya atau puisi ini tidak ada kaitan dengan sebarang ajaran Islam yang salah termasuk syiah, jadi ia tidak patut diharamkan. Saya akan benarkan buku berkenaan diedarkan jika kandungannya tidak terpesong daripada ajaran Islam," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai perkembangan tiga karya Faisal itu berikutan dua novelnya diharamkan sebelum ini iaitu 'Perempuan Nan Bercinta' dan 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' kerana didapati mengandungi unsur fahaman Syiah.

Terdahulu beliau melancarkan dua buah buku hasil tulisan Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib berjudul "Je T'aime" dan "The Glory of God" di Kuala Lumpur semalam.

Shuryani adalah isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan pendaftaran bagi mana-mana pertubuhan yang boleh menjejaskan keharmonian sesuatu kaum atau agama di negara ini.

"Kami tidak benarkan pendaftaran Majlis Syiah Malaysia kerana ia akan menjejaskan perpaduan orang Islam. Sebab itu kenapa kami mahukan Sunnah Wal Jammah menjadi pegangan umat Islam di negara ini," katanya.

KDN pada 25 Julai lalu mengisytiharkan bahawa Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1), Akta Pertubuhan 1966 pada 24 Julai 2013 melalui Pewartaan P.U. (A) 238/2013.

Pertubuhan Syiah Malaysia merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar yang telah menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan majoriti umat Islam di Malaysia yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ini mencetuskan suasana keresahan dan kebimbangan di kalangan umat Islam di negara ini.

Peruntukan di bawah Seksyen 5 [Akta 335], Akta Pertubuhan 1966 adalah berkaitan dengan kuasa menteri di dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.
- Bernama