Sabtu, 14 Disember 2013

Bukti KDN tak cukup tuduh Mat Sabu Syiah, kata Ibrahim Ali


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Datuk Ibrahim Ali berkata bukti yang dikemukakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mencukupi bagi membuktikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menganut fahaman Syiah kerana beliau sendiri pernah bertemu dengan pemimpin besar Revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata, dakwaan pihak tertentu beliau menganut Syiah adalah satu jenaka besar kerana pertemuan sahaja tidak boleh dijadikan seseorang cenderung mengikuti fahaman tertentu.

“Menyanjung tinggi Revolusi Islam Iran tiada kena mengena dengan kefahaman Syiah. Itu adalah perjuangan politik rakyat Iran menentang bekas pemerintah zalim ketika itu, Mohammad Shah Reza Pahlavi,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider

“Jika isu bertemu dengan Khomeini, saya dikatakan Syiah, ini satu jenaka paling besar kerana pertemuan kita dengan sesiapa tidak harus menjadikan kita setuju atau mengikut fahaman mereka. Isu Mat Sabu dikaitkan dengan Syiah, saya tak tahu. Itu beliau kena jawab dan tiada kena mengena pertemuan saya bersama Khomeini."

KDN pada Khamis mendedahkan 10 bukti penglibatan Mohamad Sabu atau juga dikenali sebagai Mat Sabu dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya melibatkan perjuangan Imam Khomeini.

Sejurus selepas pendedahan KDN, gambar Ibrahim bersama Khomeini tersebar di laman sosial Facebook dan Twitter.

Antara yang didedahkan KDN adalah Mohamad pernah menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini melalui tulisan di Harakah pada Julai 2008.

Ibrahim berkata KDN hanya boleh membuat dakwaan ke atas Mohamad sekiranya mempunyai bukti yang lebih kukuh berbanding pendedahan yang dilakukan kementerian itu sebelum ini.

“Jika bertemu Khomeini seperti saya sekali pun, saya tidak akan mendakwa Mat Sabu pengikut Syiah tetapi jika KDN ada lebih banyak bukti, itu saya tak campur. KDN bukan sahaja perlu menunjukkan bukti tetapi adakah pemimpin itu pernah menyertai latihan atau pengkaderan anjuran kumpulan Syiah.

“Mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pernah bertemu dengan Mao Tze Tung dan merintis hubungan diplomasi dengan China. Saya tidak fikir Tun Razak menyokong ideologi komunis. Tun Dr Mahathir Mohamad banyak kali mengadakan pertemuan bersama Friedel Castro, tidak bererti beliau juga berfahaman sosialis,” katanya.

Ibrahim berkata, beliau sangat berbangga apabila pertemuannya bersama Imam Khomeini didedahkan semula di media sosial kerana menurutnya 35 tahun dahulu banyak pihak yang menafikan pertemuan itu.

Gambar yang menjadi kontroversi.
Gambar yang menjadi kontroversi.Katanya, peristiwa itu sukar dilupakannya kerana Khomeini sendiri tidak suka bergambar pada ketika itu kerana berada dalam keadaan revolusi.

“Saya teruja apabila didedahkan semula dengan Imam Khomeini kerana dahulu apabila saya tunjuk gambar mereka mendakwa itu gambar tipu. Sesetengah pihak berasa tidak senang hati saya dapat bergambar dengan Imam Khomeini.

“Gambar itu diambil pada tahun 1978, lebih kurang 35 tahun lalu. Saya fikir saya satu-satunya rakyat Malaysia yang dapat bertemu Khomeini sebelum revolusi,” katanya yang menyatakan pertemuan bersama Khomeini adalah secara kebetulan ketika sedang berbulan madu selepas baru berkahwin.

Menceritakan sejarahnya bertemu Imam Khomeini, Ibrahim berkata beliau ketika itu dalam perjalanan menjelajah ke Amerika, London dan kemudian ke Paris sebelum menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Katanya, kisah wawancara bersama pemimpin revolusi Iran itu dimuatkan dalam bukunya bertajuk “Wawancara bersama Ayatollah Khomeini” yang diterbitkan pada 1979 dan 35,000 naskhah habis dijual.

“Ketika isu revolusi Iran sedang hangat diperkatakan. Saya bertemu Khomeini untuk menemubualnya. Ketika berjumpa saya solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak berjemaah di satu tempat bernama Chateu Melu, satu jam setengah perjalanan dari Paris.

“Beliau menceritakan tentang kezaliman Mohammad Reza yang dikenali juga sebagai Shah Iran.
Bagaimana pemimpin itu membolot kekayaan dan menjadi tali barut Amerika. Ini yang beliau ceritakan. Langsung tidak bercerita tentang fahaman Syiah,” katanya.

Ibrahim berkata Imam Khomeini tidak bertutur bahasa Inggeris dan perbualannya bersama pemimpin itu menggunakan khidmat penterjemah.

Katanya, Imam Khomeini hanya bertutur dalam bahasa Perancis dan Parsi serta turut menggambarkan pemimpin itu sebagai orang yang cukup lembut dan bersuara halus.

“Saya tidak lihat beliau sebagai pejuang politik. Beliau hanya menentang Mohammad Reza yang zalim terhadap rakyat. Sebab itu apabila revolusi Iran berjaya, Khomeini tidak jadi presiden tetapi pulang ke Qom dan meneruskan dakwahnya,” kata beliau yang menyifatkan pertemuan bersama Khomeini adalah satu perjalanan hidup bagi mengenali perjuangan pemimpin hebat dunia.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata, Khomeini bukanlah satu-satunya pemimpin dunia yang ditemuinya tetapi beberapa pemimpin hebat lain turut ditemui seperti Castro, Al-Gore dan Mohd Kutub.

“Saya pernah bertemu dengan Mohd Kutub, adik kepada Syed Kutub, pemimpin Ikhwanul Muslimin dari Mesir ketika berada di Mekah. Saya tinggal bersamanya selama tiga bulan sementara menunggu bulan haji," katanya.

Kedua-dua Ibrahim dan Mohamad merupakan bekas mahasiswa UiTM.

Tiada ulasan: