Ahad, 1 Disember 2013

Bahana kenaikan harga barangan



Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


KENAIKAN harga bahan api yang diumumkan selepas PRU13 yang lalu oleh PM Dato’ Seri Najib Tun Razak, memeranjatkan banyak pihak khususnya golongan berpendapatan rendah.Namun hal itu sedikitpun tidak memeranjatkan pihak tertentu kerana ada kepentingan di situ.

Kesan kenaikan harga bahan api bukan sahaja dirasakan oleh golongan berpendapatan rendah, malah golongan berada juga terasa kerana ia membabitkan kecelaruan perancangan ekonomi jangka panjang. Walaupun beliau sudah berjanji tidak akan menaikkan harga bahan api terutama petrol.

Walau bagaimanapun Islam amat pandang serius tindakan menaikkan harga barangan keperluan asas seperti minyak (bahan api), tarif elektrik dan air. Ini kerana ia dianggap menzalimi dan membebankan rakyat khususnya mereka yang berpendatan rendah dan sederhana. Kenaikan harga bahan bakar diumumkan termasuk dalam akhbar-akhbar arus perdana. Persoalannya di sini, mengapa kerajaan pimpinan Perdana Menteri beriya-iya menaikkan harga barangan termasuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang benar-benar membebankan rakyat.

Kenaikan itu mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa dengan laporan media sejak akhir-akhir ini yang sering dan cenderung untuk menguar-uarkan kononnya perbezaan harga minyak dunia melibatkan negara.

GST diuar-uarkan dalam media elektronik sebagai tidak zalim malah menjadikan negara lebih berhemah. Terdahulu kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan bermacam-macam barangan asas lain dengan pelbagai alasan yang boleh direka.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga kononnya dilaporkan akan menaikkan tarif elektrik mungkin disusuli dengan kenaikan barangan lain. Masalah di sini ialah rakyat dihimpit dengan pelbagai kesukaran bagaikan mereka hidup dalam sebuah negara kapitalis yang banyak bergantung kepada bantuan subsidi kerajaan yang memerintah, malah rakyat semakin sedar untuk memiliki rumah bukan satu yang boleh dikecapi dengan harga yang melambung di pasaran, kalau bawang, cili, sayur-sayuran perlu mengikut harga kawalan, hingga yang menaikkan harga hingga RM1 dan sebagainya akan didakwa, sedangkan harga rumah tidak termasuk barang kawalan hingga boleh menaikkan hingga RM20K dan seterusnya.

Islam menganggap bahawa semua bahan yang disebutkan di atas termasuk dalam senarai kemudahan awam, iaitu perkara yang orang awam tidak dapat melakukan sesuatu tanpanya, ia bersesuai dengan ketegasan baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu Abbas yang bermaksud: “Manusia berkongsi pada tiga perkara, iaitu api (elektrik), air dan rumput.”

Apa yang ditegaskan oleh baginda tidak diendahkan oleh pemerintah yang angkuh dengan kerajaan pimpinannya, seolah-olah tindakan kerajaan sebagai membalas dendam kerana tidak mendapat dua pertiga undi rakyat dalam pilihan raya atau memprovok supaya rakyat bangkit menentang dan ada sebab mereka akan ditangkap dan sebagainya. Inilah taktik kotor pemerintah yang membelakangkan aspek nilai, keadilan terhadap rakyat.

Api, air dan rumput (asas pertanian) adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman kehidupan yang menyusahkan mereka. Apa guna jika sering menguar-uarkan bahawa ekonomi negara melonjak di peringkat antarabangsa jika rakyat menderita dengan pengumuman itu, sepertimana pepatah menyebut, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Ada pula menteri yang sebut, jika tidak suka duduk/ tinggal di Malaysia, boleh tinggal di luar negara, ada pula yang mencadangkan agar duduk di hutan. Inilah mentaliti individu yang mementingkan diri sendiri lebih daripada rakyat jelata.

Rakyat cari alternatif 

Apabila kerajaan gagal mengadakan bukan sahaja kemudahan asas, malah keperluan rohani seperti kelas-kelas agama, ia akan menyebabkan banyak perkara tidak akan selesai khususnya dalam sektor pertumbuhan ekonomi negara.

Kerajaan sebelum ini banyak terlibat dalam menyediakan program-program hiburan keterlaluan yang menjadi kegilaan golongan anakanak muda pelbagai kaum secara langsung ataupun tidak langsung. Maka rasa minat mereka kepada aspek agama menjadi pudar, ekoran daripada itu, tidak hairanlah laporan berita menyebut, ramai dalam kalangan budak-budak perempuan 12 tahun terlibat dengan perlakuan seks bebas dan ketagihan amalan itu pada tahap yang membimbangkan banyak pihak seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Kegilaan anak-anak muda kepada hiburan melampau semakin menyerlah kerana ia memang disediakan, kita ingat Akademi Fantasia musim ke-10 sudah tidak dianjurkan kerana mendapat kritikan rakyat yang benci kepada perkara yang membawa kepada kemasyhuran dan glamor. Tetapi pandangan kita itu meleset, masyarakat dapat lihat bagaimana sungguhnya anak-anak muda ini mahu bergelar bintang, ada perkara yang dilakukan seolah-olah menghalalkan cara untuk sampai kepada matlamat.

Tidak cukup dengan itu semua, bintang kecil turut dianjurkan. Iaitu satu program realiti khusus buat anak-anak kecil bawah 12 tahun, apa semua ini? Apa peranan majlis dan jabatan agama dalam melihat kesuburan fenomena anak-anak kecil terlibat dalam industri hiburan ini? Tidakkah pihak berkenaan boleh bersuara kerana memiliki autoriti. Kita bimbang satu hari nanti, anak-anak kita tidak lagi menghiraukan persoalan agama dan akademik, kerana terjamin masa depan dalam bidang yang diceburinya sekarang ini.

Kalau sebelum kenaikan harga barangan diumumkan, masih terdapat sebahagian para bapa di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mengikuti kelas-kelas fardu ain sebagai bekalan untuk menuju akhirat, tetapi disebabkan sibuk selepas kenaikan harga barangan, surausurau dan masjid-masjid sudah mula lengang dengan kehadiran para jemaah.

Mereka mula gelisah memikirkan bagaimana boleh menambahkan pendapatan sampingan. Ada yang sudah mula terlibat dalam jualan langsung, ada yang terpaksa kerja lebih masa, tidak kurang juga yang mula mencari tapak di pasarpasar malam. Semuanya tidak lain adalah untuk menambahkan pendapatan bagi meringankan bebanan perbelanjaan bulanan keluarga. Sepatutnya pada usia senja ini, mereka banyak mempersiapkan diri dengan bekalan menghadapi alam akhirat, dengan kata lain bersiap untuk menemui Allah SWT dengan amalan-amalan yang banyak.

Apabila golongan bapa ini sudah tidak berapa mahu menjenguk rumah-rumah Allah seperti sebelum ini kerana kesibukan mencari pendapatan lebih, maka sudah tentu anakanak akan terbiar. Mereka sudah tidak lagi berada dalam kawalan bapa-bapa mereka, maka aktiviti sumbang yang sebelum ini boleh dibendung akhirnya tidak dapat dikawal seperti kegagalan kerajaan untuk mengawal harga barangan.

Akhirnya, golongan bapa tidak lagi dapat bermesra dengan anakanak mereka seperti sedia kala.
Masyarakat akan semakin pincang kerana interaksi antara anak-anak dan bapa, ibu dan sebaliknya juga tidak wujud. Masing-masing dengan haluan sendiri, kerana selepas waktu pejabat, golongan bapa atau dibantu golongan ibu sudah mula berkemas untuk ke tapak di pasar malam. Itu semua bukan yang mereka mahu, tetapi keadaan semakin mendesak, pembelajaran anak-anak menjadi keutamaan.

Justeru, Islam mengandaikan bahawa selagi mana pemerintah atau kerajaan tidak kembali untuk melaksanakan hukumhukum Syariat Islam seperti yang termaktub dalam al-Quran, selagi itulah Allah akan menghukum mereka, yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa.

Menjauhkan sanak saudara

Allah ada menegaskan dalam ayat 96-99 surah al-A’raf yang bermaksud: “(Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

“Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermainmain?

“Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orangorang yang rugi.”

Sama-samalah kita perhatikan firman Allah di atas, hanya dengan kita beriman dan bertakwa, Allah akan bukakan segala kurniaan apa yang ada di langit dan di bumi untuk hambahamba- Nya, dengan kemudahan dan kurniaan itu dapatlah mereka menjalani proses kehidupan dengan aman dan damai.

Tidak dapat dinafikan, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain akan menjauhkan keakraban anggota keluarga. Secara praktikalnya, pada musim cuti sekolah barubaru ini, tinjauan mendapati, perantau yang berkarier di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya, lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri, menyatakan rasa keberatan untuk pulang pada musim cuti akan datang kerana kos perjalanan dengan kereta semakin meningkat.

Tidak cukup dengan itu, ditambah bayaran tol yang memang membebankan, ada yang mungkin tidak pulang untuk berhari raya tahun ini kerana mahu menjimatkan perbelanjaan sebagai persiapan sesi persekolahan baru tahun berikutnya. Banyak lagi halangan untuk mempertemukan antara anggota keluarga, semuanya disebabkan kenaikan harga barangan.

Tiada ulasan: