Jumaat, 13 Disember 2013

Adakah Ahmad Shabery Cheek juga Syiah?

shariati


Di negara ini kita dihadapkan dengan banyak istilah yang muncul tiba-tiba tanpa ada usaha untuk membantu khalayak awam memahami akan ertinya terlebih dahulu, misalnya sedikit masa dahulu negara ini heboh dengan perkataan Wahabi, maka ramailah yang dituduh Wahabi, namun apabila ditanya apakah dia Wahabi hanya dua perkataan sahaja yang mampu dilontarkan; Perlis dan Dr MAZA.

Kemudian masyarakat disensasikan pula dengan istilah Islam Liberal. Kononnya Islam Liberal ini merupakan kesesatan yang nyata. Namun apabila ditanyakan apakah perbezaan fundemental Islam Liberal ini daripada segi persoalan iman dan epistemologinya, semua ikut diam. Hanya tahu Islam Liberal ini adalah orang yang bercakap tentang agama tetapi tidak berjubah dan kadang-kala pakai kot dan tali leher. Kita juga dibebankan dengan istilah sekularism yang entah apa ertinya namun sangat cocok jika disebut bersama liberalism. Ya, liberalism dan sekularism.

Ketidakmampuan masyarakat umum untuk menghuraikan istilah ini bukanlah terjadi tanpa sebab dan bukan juga kerana istilah ini muncul tiba-tiba sehingga tiada kesempatan untuk mengkajinya.
Buktinya ambil sahaja istilah Komunisme yang sejak dahulu dijadikan momokan untuk sesiapa sahaja yang kedengaran radikal atas sebab apa pun. Ya, radikal satu lagi istilah yang tidak kita mengertikan. Bagi kebanyakkan kita komunisme ertinya Chin Peng dan hal-hal yang bersangkutan dengan Chin Peng. Itu sahaja.

Malah, banyak juga istilah yang digunakan oleh kerajaan sebagai slogan nasional juga tidak kita tahu akan asal muasalanya – datang menyergah tiba-tiba dan kemudian hilang. Mungkin ada yang masih ingat akan istilah Islam Hadhari yang seolah-olah mahu menyaingi istilah yang terlebih dahulu popular – masyarakat madani. Demikian juga dengan kata transformasi yang nampaknya mahu mengendurkan laungan reformasi. Apa pun umumnya kebanyakkan kita tidak benar-benar ambil pusing akan perkara ini. Sama seperti istilah glokal yang langsung dilupakan.

Kini Syiah pula menjadi momokan dan cemuhan terbaru untuk menakut-nakutkan umat Melayu di negara ini. Anehnya, ketika UMNO masih berharap untuk berbaik-baik dan bermuzakarah (istilah yang ramai juga tidak maklum akan ertinya), cerita orang nombor 2 dalam PAS sebagai Syiah ini tidak timbul. Hanya muncul setelah orang nombor 2 ini menang sekali lagi sebagai Timbalan Presiden PAS dan mengambil garis politik yang jelas – hanya ada satu kata untuk penindasan, lawan!
Jangan-jangan isu Syiah ini hanya untuk mematikan garis politik orang nombor 2 ini?

Wujudnya sangkaan bahawa ini merupakan sebahagian taktik politik untuk menyerang PAS adalah kerana sebelum ini bukan sahaja kita meraikan ramai pelajar Iran ke negara ini malah menjemput mereka menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa setiap tahun sejak 1961.

Tambahan pula, sejak sekian lama banyak buku pemikir Iran yang bukan sahaja berada dalam kebanyakkan perpustakaan di negara ini, malahan juga sebahagiannya telah pun diterjemahkan ke bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Misalnya karangan intelektual Iran, Ali Shariati, seperti Haji, yang diterbitkan di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan buku beliau yang lain seperti Fatimah az-Zahra: Pribadi Agung Putri Rasulullah SAW, terbitan Jakarta.

Malah, Ahmad Shabery Cheek juga pernah menyunting sebuah buku yang bertajuk Warisan Shariati, terbitan Ikraq, Kuala Lumpur pada 1987. Apakah ini sudah cukup untuk menuduh Ahmad Shabery Cheek sebagai penganut ajaran Syiah dan menyebarkan ajaran Syiah? Sesungguhnya Malaysia ini penuh dengan kontradiksi yang tidak pernah mahu diselesaikan. Akhirnya kita tenggelam dan lemas dalam banyak istilah yang kita ciptakan; wahabi, salafi, liberal, sekular, komunisma, sosialism dan Syiah.

Akhir sekali, penulis tinggalkan Ahmad Shabery Cheek dalam buku suntingannya ini sebagai modal berfikir:

Pemikirannya membawa nafas baru kepada agama Islam. Bagi kita di Malaysia, Shariati merupakan anugerah Tuhan yang mesti dimanfaatkan. Walaupun karyanya disulami dengan pengaruh masyarakat Iran dan mazhab Syiah, tetapi masih banyak persamaan persoalan pokok yang terdapat dalam kebanyakan masyarakat Islam yang sedang membangun dan mengalami proses pemodenan.” (Ahmad Shabery Cheek (penyunting), Mengapa Shariati dalam Warisan Shariati, Ikraq, 1987, Kuala Lumpur).

(*) Penulis adalah Pegawai Eksekutif Penang Institute dan Ketua DAPSY Bukit Bendera merangkap Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Tiada ulasan: