Sunday, December 26, 2021

75 peratus PBS Pulau Pinang berada di Selangor, Pahang bantu mangsa banjir

Oleh SAFINA RAMLI
CHOW KON YEOW

GEORGETOWN: Kesemua 35 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Pulau Pinang berada dalam keadaan siap siaga yang mana 75 peratus daripada anggotanya kini berada di Selangor dan Pahang bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut menghantar anggota perubatan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) dan pasukan sukarelawan, Save City Volunteers bagi memenuhi keperluan dalam misi kemanusiaan khas kerajaan negeri.

Jelas beliau, berbekalkan pengalaman Pulau Pinang yang pernah berdepan banjir besar pada November 2017 dan penglibatan dalam misi bantuan bencana banjir di Pantai Timur pada 2014, pelbagai agensi kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini telah bertindak pantas.

“Mereka bukan hanya tiba di lokasi kejadian sejak peringkat permulaan, malah bantuan makanan, perubatan serta kelengkapan menyelamat juga dihantar tanpa henti secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, sebagai tambahan, badan-badan korporat, orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan turut bersama-sama kerajaan negeri dalam membantu apa yang diperlukan.

“Pulau Pinang akan terus berhubung dan membantu mereka yang dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang.

“Malah walaupun 17 tahun telah berlalu, Pulau Pinang tidak pernah lupa tarikh keramat 26 Disember 2004 yang mana bencana tsunami Laut Andaman telah memusnahkan sebahagian kehidupan penduduk negeri ini,” katanya.

Tambahnya, atas semangat kekitaan, Pulau Pinang berjaya bangkit semula dan suntikan itu menjadi tulang belakang untuk terus bersama-sama dengan mereka yang menghadapi kesusahan.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri melalui Agenda Hijau merangkumi pendekatan Daya Tahan Terhadap Kecemasan Iklim atau ‘Resilience to Climate Emergency’ telah menubuhkan Unit Bencana.

“Penyelidikan dan pengumpulan data berhubung perkara berkaitan akan dijalankan oleh agensi negeri, Penang Green Council (PGC).

“Selaras itu juga, pelan latihan secara besar-besaran melibatkan 299 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berhubung teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR), penggunaan automated external defibrillator (AED), asas pertolongan cemas dan lain-lain akan dijalankan,” katanya.

No comments: