Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
HASRAT Long Tiger untuk menghilangkan diri ke luar negara dipercayai ke Indonesia dan Thailand terbantut selepas dicekup di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, yang berlindung di rumah seorang ‘pondan’ dikenali sejak setahun lalu menerusi Facebook diserbu polis sebelum sempat melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ‘pondan’ yang berusia 46 itu merupakan seorang daripada tiga individu yang bersekongkol membantu suspek etnik Rohingya itu sejak meloloskan diri.
“Hasil siasatan, memang itu rancangan Long Tiger untuk melarikan diri ke luar negara dengan menyeberang ke Indonesia atau ke Thailand.
“Kita turut menahan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun pukul 7.25 malam hingga 3 pagi tadi di sekitar Batu Pahat yang dipercayai bersekongkol dengan suspek.
“Mereka dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum membantu membawa dia dari Tangkak kemudian ke Batu Pahat sebelum ke Utara negara.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada suspek terlibat dibayar oleh Long Tiger atau bersekongkol. Polis juga sedang siasat sekiranya ada individu yang membiayai Long Tiger ini, memboloskan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Semalam Long Tiger yang berjaya ditahan setelah didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil.
Ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang itu, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.
Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.
Suspek sebelum itu tiba dari Penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana kes pemerasan.
Tertuduh juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 224 kanun sama kerana lari dari tahanan.
No comments:
Post a Comment