Jemaah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Arab Saudi setelah mengerjakan umrah, hari ini mula dipakaikan peranti pengesanan digital.
Sepasukan 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membuka 20 kaunter di bangunan Satelit C25 KLIA bagi membantu proses pemakaian peranti digital itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya petang tadi, beliau berkata ujian saringan dan pemakaian peranti itu mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit.
“Terkini mereka yang selamat kembali dari umrah, telah dimulakan pemakaian digital tracker.
Sebanyak 20 kaunter dan 40 staf telah ditempatkan untuk pemakaian digital trackers di bangunan Satelitte C25.
Jangkamasa diambil untuk saringan kesihatan dan pemakaian digital tracker edgenta memakan masa 1jam 20 minit,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini pemakaian peranti pengesanan digital itu adalah untuk pengembara yang kembali dari 18 negara berisiko tinggi di bawah pengawasan kuarantin rumah.
Pada 25 Disember lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mewajibkan semua jemaah umrah memakai peranti pengesanan digital apabila tiba semula di KLIA.
Tindakan itu dilakukan setelah kes membabitkan jemaah umrah dijangkiti varian baharu Covid-19, Omicron, meningkat. Berita berkaitan
No comments:
Post a Comment