Monday, December 27, 2021

68 menara telekomunikasi di N. Sembilan terjejas teruk

Tan Sri Annuar Musa serta ketua-ketua jabatan agensi di bawah KKMM tiba di Parlimen Jelebu bagi program sumbangan bantuan pasca #banjir di Jelebu./ Gambar FB BERNAMA

TERDAPAT 68 menara telekomunikasi di Negeri Sembilan terjejas teruk akibat banjir pada Sabtu lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 57 menara sudah dibaik pulih dan 11 lagi menara memerlukan sedikit masa berikutan beberapa faktor.

“Antara faktornya ialah jalan terputus, tiada bekalan elektrik selain kabel fiber optik mengalami kerosakan teruk.

“Kita menjangkakan dalam tempoh 10 hari lagi kesemua 11 menara berkenaan dapat dipulihkan,” katanya kepada pemberita di Balai Raya Kampung Chennah, di Jelebu.

Terdahulu KKMM melalui Sukarelawan Komuniti Keluarga Malaysia (KKMM) dengan pelbagai badan bukan kerajaan, menyampaikan sumbangan kepada 600 mangsa banjir di Kampung Chennah.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut hadir dalam program tersebut Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Mokhtar Hussain serta ketua-ketua jabatan dan agensi KKMM.

Dalam pada itu beliau berkata lebih 70 peratus daripada 1,000 menara telekomunikasi di seluruh negara yang rosak akibat banjir sudah dipulihkan.

Annuar berkata ketika ini kakitangan syarikat telekomunikasi bekerja 24 jam bagi memastikan liputan komunikasi dapat dipulihkan pada minggu depan.

“Kos pembaikan menara komunikasi yang rosak dianggarkan berjumlah ratusan juta ringgit,” katanya.

Sementara itu, kata Annuar, gabungan enam syarikat telco menyampaikan sumbangan bantuan banjir berjumlah RM25 juta di beberapa negeri yang terlibat dengan bencana itu.

Beliau berkata kementeriannya menyumbang RM2.1 juta kepada mangsa banjir.

Annuar yang tiba di Kampung Chennah kira-kira 12.30 tengah hari tadi bersama pasukan Sukarelawan Komuniti Keluarga Malaysia telah mengagihkan bantuan banjir kepada penduduk terjejas.

elaku ahli Parlimen Ketereh yang mempunyai pengalaman menguruskan masalah banjir di kawasannya di Kelantan, beliau amat memahami kesukaran dihadapi 600 mangsa banjir di kampung itu yang perlu meneruskan kehidupan dalam keadaan serba tidak mencukupi berikutan banjir teruk melanda.

Susulan itu, KKMM melalui pihak sukarelawan telah menyerahkan bantuan kotak makanan dan tilam kepada penduduk serta memudahkan mendapatkan barangan keperluan untuk penduduk terjejas.— BERNAMA

No comments: