Rayyan (bukan nama sebenar) adalah anak yang cerdik namun tidak sah kerana ibu bapanya tidak berkahwin ketika dia dilahirkan.
Di sudut bilik sebuah kedai di Sarawak, Rayyan, empat tahun (bukan nama sebenar) duduk bermain dengan dua kereta mainannya.
Rayyan menolak keretanya itu di lantai sambil mulutnya dimuncungkan bagi meniru bunyi kereta sebenar di jalan raya.
Seperti anak kecil lain, dia memarahi sesiapa yang mahu mengambil mainannya itu, termasuk sepupunya yang baru berusia dua bulan yang sekadar cuba memegang kereta kecilnya itu.
Melihatkan kejadian itu, pakciknya memujuk Rayyan untuk berkongsi mainannya.
Selepas beberapa kali memujuknya, Rayyan dengan senang hati menyerahkan mainannya kepada adik sepupunya.
Mereka tinggal bersama, jadi Rayyan memang menganggap bayi itu sebagai adiknya.
Bagi Rayyan, adik sepupu, ibu dan bapa saudaranya adalah keluarga.
Dia dihantar untuk tinggal bersama mereka selepas ibunya menghilangkan diri.
“Ibunya melarikan diri bersama teman lelaki yang ketagih dadah,” kata Zaid yang merupakan bapa saudara Rayyan kepada MalaysiaNow.
“Bapanya sudah hilangkan diri waktu itu. Dia hilangkan diri beberapa bulan sebelum Rayyan dilahirkan.”
Kedua ibu bapa Rayyan adalah warga Malaysia.
Ibunya, adik kepada Zaid adalah dari suku Bajau sementara bapanya adalah kaum Cina.
Namun masalah besar yang dihadapi anak kecil ini adalah hakikat ibu bapanya tidak memiliki ikatan perkahwinan ketika dia dilahirkan.
Ini bermaksud Rayyan yang tidak memiliki sijil kelahiran dianggap tidak memiliki kewarganegaraan.
Kini Rayyan tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya, serta sepupu kecilnya di sebuah bilik sewa kecil di tingkat pertama sebuah kedai di Bintulu.
“Dia dilahirkan di lantai simen kilang tempat ibunya bekerja,” kenang Zaid.
Zaid dan isterinya melakukan sedaya upaya mereka untuk membesarkan anak lelaki itu, namun walaupun berusaha sebaik mungkin, anak kecil itu menjengah dunia ini dalam keadaan yang begitu suram.
Dengan statusnya ketika ini, Rayyan bakal menjalani hidupnya dengan penuh ketidakpastian melainkan dia memperolehi kewarganegaraan.
Sepanjang pandemik ini, Zaid juga bergelut untuk mencari nafkah buat keluarganya.
Sebagai pekerja yang mendapat gaji harian, sebelum ini dia dapat menyediakan nafkah dengan cukup baik sehinggalah Covid-19 melanda negara dan sekatan pergerakan turut dilaksanakan.
Selama beberapa bulan, dia melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan keluarga.
Ketika ini, setiap pagi, Zaid akan berjalan ke suatu lokasi di mana dia menunggu kontraktor bangunan dan penyelenggaraan yang mencari pekerja.
Sekiranya dia bernasib baik, Zaid boleh mendapat RM50 hingga RM80 sehari dengan kerja mengangkut batu bata, memotong rumput dan melakukan pekerjaan kasar lain.
Namun, hampir setiap hari Zaid pulang dengan tangan kosong.
Sewa biliknya juga kini tertunggak tiga bulan dan keluarga kecilnya menghadapi ancaman pengusiran setiap hari.
Tekanan mereka sekeluarga meningkat setelah isterinya melahirkan anak.
Upah kecilnya kini terpaksa menanggung perbelanjaan bayi yang baru lahir juga.
Zaid tidak tahu berapa lama dia boleh terus membesarkan Rayyan.
Dia sedang mempertimbangkan untuk menghantar anak kecil itu ke Sabah untuk tinggal bersama datuk dan neneknya di kampung mereka yang ditinggalkan Zaid tujuh tahun lalu.
“Saya boleh menjaga Rayyan jika saya ada pekerjaan dan pendapatan tetap,” katanya.
“Tetapi dengan bayi baru lahir dan masalah kewangan, saya rasa bukan idea yang baik untuk dia terus tinggal bersama saya di Bintulu.
“Sekiranya dia kembali ke Sabah, sekurang-kurangnya dia akan selamat dan dijaga.”
Namun tanpa sijil kelahiran, Rayyan tidak mungkin boleh menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung ibunya.
Bahkan di Bintulu, Zaid jarang membawa Rayyan keluar dari rumah, kerana takut anak itu akan ditangkap kerana tiada kewarganegaraan.
Walaupun Zaid ingin memohon kerakyatan untuk anak saudaranya, kekangan kewangan pula membantutkan keadaan.
“Kami tidak mahu perkara buruk terjadi kepadanya,” katanya.
“Saya harap dia akan menjadi lelaki yang baik suatu hari nanti, kerana anak yang cerdik dan cepat belajar.”
Duduk di sudut bilik, Rayyan menunjukkan kepada MalaysiaNow bagaimana dia boleh mengira dari satu hingga 10.
“Saya suka Upin dan Ipin,” katanya.
“Dan BoBoiBoy!.”
Namun, betapa pintar pun Rayyan, masih jauh perjalanannya, dan berapa jauh dia dapat menjalani kehidupannya dalam negara yang tidak mengiktirafnya wujud secara sah masih kekal menjadi persoalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan