TIMMY SAY
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Golongan antivaksin mempunyai hak untuk bergerak ke sana, ke sini.
Mereka juga mempunyai ahli keluarga, dilahirkan ibubapa dan juga merupakan manusia.
Tindakan mereka untuk tidak menerima vaksin Covid-19 adalah satu jenis kekejaman ke atas diri, ahli keluarga, sahabat handai dan yang perlu bertemu atas segala apa urusan.
Akan tetapi, tindakan memaksa golongan ini untuk menerima vaksin adalah satu tindakan yang sangat sukar.
Menyukarkan hidup golongan antivaksin hanya akan menyebabkan timbulnya kes pemalsuan sijil vaksinasi dan juga ruang-ruang penyelewengan yang tidak terbayangkan.
Sebenarnya, hanya golongan yang divaksin dapat melindungi daripada mereka belum divaksin.
Umpamanya, apabila ada sahabat karib atau ahli keluarga terdekat ingin bertandang ke rumah, apakah kita sanggup bertanya soalan terus-terang dan menyemak MySejahtera masing-masing sebelum mengizinkan pertemuan itu berlaku?
Di institusi pendidikan dan tempat kerja, apakah pihak pengurusan berani bertindak memastikan para pekerja yang enggan divaksin untuk melakukan ujian Covid-19 dengan tanggungan mereka sendiri setiap hari sebelum hadir untuk melaksanakan tugas?
Prosedur operasi standard (SOP) untuk golongan antivaksin hanya satu, mereka perlu menjalankan ujian antigen Covid-19 setiap hari di mana-mana klinik bertauliah, dan sekurang-kurangnya satu ujian PCR setiap minggu.
Kos ini perlu ditanggung mereka sendiri.
Dan keputusan ini perlu dilaporkan ke aplikasi MySejahtera.
Golongan antivaksin dibenarkan menikmati kebebasan yang sama dengan golongan yang divaksin setelah 14 hari pertama keputusan negatif.
Status di MySejahtera akan berubah kepada status oren sementara yang bermaksud risiko rendah, hampir sama seperti golongan penerima vaksin.
Jika mana-mana hari keputusan menjadi positif atau tidak dilaporkan keputusan terbaru, status MySejahtera akan terus berubah balik ke status belum divaksin.
Cadangan ini adalah adil kerana golongan penerima vaksin perlu dilihat sebagai golongan yang sanggup mengambil risiko kesihatan dengan mencuba vaksin yang dianggap “bahaya” di mata golongan antivaksin demi melindungi orang ramai.
Sebagai timbal balas, golongan antivaksin pula dilihat sebagai golongan yang sanggup mengambil tindakan proaktif yang ekstrem dengan membuat ujian Covid-19 sendiri setiap hari untuk melindungi orang ramai.
Maka dengan demikian tidak timbullah soal kekejaman terhadap golongan antivaksin.
SOP untuk rakyat hanya dua.
Pertama, tanya dan semaklah status MySejahtera pihak yang ingin ditemu, dan kedua, lakukan ujian Covid-19 kendiri secara berkala sebelum berjumpa ahli keluarga dan sahabat tersayang.
Kerajaan sebenarnya tidak boleh berbuat apa-apa melainkan mewujudkan SOP yang membantu mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Segala apa yang kerajaan buat terhadap golongan antivaksin tidak akan berkesan jika rakyat sendiri tidak mengambil tindakan.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan