Krisis politik Melaka berpunca daripada perebutan kuasa sesama UMNO dan ditambah pula dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bersekongkol dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Sulaiman Md Ali.
Tindakan empat ADUN yang diketuai bekas KM UMNO sebelum, Datuk Seri Idris Haron menumbangkan kerajaan negeri dipimpin UMNO sendiri dan pembangkang pula sanggup menerima sokongan mereka yang menarik sokongan tersebut sehingga jatuhnya kerajaan negeri Melaka.
Penglibatan pembangkang dalam kejatuhan kerajaan Melaka bukan lagi rahsia, jika tidak mengapa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan empat ADUN tersebut sejurus mereka menarik sokongan.
Semakin nyata apabila empat ADUN tersebut menghadiri program bersama Anwar di sebuah hotel Melaka baru-baru ini, ia secara tidak langsung menunjukkan tindakan mereka yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri itu mendapat restu dan dukungan Presiden PKR tersebut.
Adakah Anwar cuba menafikan krisis politik di Melaka sebenarnya berpunca daripada ketamakan PH sendiri yang sanggup menggadaikan prinsip untuk menerima wakil rakyat yang melompat parti.
PH Melaka yang diketuai juga bekas KM, Adly Zahari mengambil kesempatan terhadap tindakan empat ADUN tersebut yang menarik sokongan tanpa membuat pertimbangan risiko yang bakal berlaku sehingga kini rakyat terpaksa berdepan satu Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ruang yang ada cuba digunakan sebaik mungkin kerana sekiranya PH menerima sokongan empat ADUN tersebut, maka PH akan dapat kembali memerintah kerajaan negeri selepas ditumbangkan sebelum ini.
Namun, sebaliknya berlaku apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan satu PRN untuk memilih kerajaan baharu.
Bagaimanapun, Idris sebelum ini mendedahkan namanya adalah calon KM yang baharu jika tumbang kerajaan negeri, malah mendakwa ia sudah dipersetujui majoriti ADUN sebelah PH sehingga mendorongnya membuat keputusan untuk menarik sokongan.
Terdahulu, tular juga klip audio perbualan Idris dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang secara jelas mendedahkan sokongan wakil rakyat PH kepada ADUN Sungai Udang itu untuk menjadi KM yang baharu. Adakah Idris sebenarnya berbohong kepada Ismail Sabri berhubung pengakuan tersebut?
Kedua-dua mereka juga tidak menafikan sama ada klip audio tersebut tulen atau pun palsu.
Punca kemarahan Idris sebenarnya terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang didakwanya mengawal pentadbiran kerajaan Melaka pimpinan Sulaiman dan sebenarnya pergaduhan tercetus akibat pembahagian projek yang tidak sama rata sesama pemimpin UMNO.
Sejurus jatuhnya kerajaan Melaka, pelbagai surat sokongan dan kelulusan projek melibatkan pemimpin UMNO di Melaka terbongkar, malah ditularkan dalam media sosial.
Ia sebenarnya menunjukkan punca krisis berlaku di Melaka adalah disebabkan perebutan projek sesama pemimpin UMNO Melaka, kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah masuk dalam kerajaan negeri bagi menyiasat dakwaan berlakunya amalan rasuah melibatkan pemberian tender projek.
Pergaduhan dalaman UMNO berjaya dihidu PH Melaka dan rancangan untuk menjatuhkan kerajaan negeri pun dijalankan dengan teliti, antara pemain utama dalam krisis ini difahamkan ia melibatkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga klip audio perbualan dengan Ismail Sabri tular sebelum ini.
Shamsul menjadi penggerak utama yang menjadi tunjang kepada gerakan menjatuhkan Sulaiman apabila bersekongkol dengan Idris dan tiga lagi ADUN menerusi percaturan politik yang strategik.
Penglibatan Shamsul semakin jelas apabila membawa dua ADUN, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) bertemu dengan Anwar di pejabatnya sejurus mereka menarik sokongan.
Sumber memberitahu, Norhizam dan Noor Effandi ketika itu menerima sokongan Anwar atas tindakan menarik sokongan tersebut, malah juga memberi tawaran akan diletak sebagai calon sekiranya PRN diadakan.
Oleh sebab itu Norhizam berani untuk membuat permintaan bertanding atas tiket PH, namun hasratnya itu tidak menjadi kenyataan apabila permintaannya sudah ditolak ekoran desakan DAP yang enggan menerimanya.
Bagaimanapun, drama krisis politik Melaka dijangka akan berterusan sehingga tarikh penamaan calon 8 November nanti.
Ditengah kemelut politik terbaharu ini, rakyat yang menjadi mangsa apabila PH dan UMNO tamak berebut kuasa sehingga berisiko membahayakan nyawa orang ramai memandangkan pandemik Covid-19 masih melanda negara.
Jika PH dan UMNO memikirkan soal kepentingan rakyat, tidak sepatutnya PRN ini berlangsung dan sepatutnya boleh bertolak ansur demi mengelakkan rakyat menjadi mangsa kerakusan kuasa orang politik.
Anwar mungkin ingat senario politik di peringkat pusat boleh berulang sama seperti di Melaka apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak memanggil Ahli-ahli Parlimen untuk menentukan individu yang memiliki majoriti.
Namun, jangkaan Anwar dan PH itu meleset sama sekali apabila DUN terbubar dan PRN terpaksa dilaksanakan. Tindakan PH Melaka yang terlibat sama dalam krisis politik Melaka juga menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri sehingga akhirnya satu PRN mengejut diadakan.
Sekiranya peristiwa sama jangkitan Covid-19 meningkat selepas PRN Sabah berulang, ia bakal menyaksikan rakyat terpaksa sekali lagi berdepan dengan kesusahan dan tekanan kehidupan akibat hilang punca pendapatan.
Sudahlah sebelum ini PRN Sabah menjadi punca tercetusnya gelombang baharu Covid-19, sekarang ia tidak mustahil akan berlaku sama jika pematuhan semasa tempoh berkempen dipandang remeh.
Dalam keadaan sebegini, ternyata rakyat yang akan susah dan menjadi mangsa kepada permainan poliitk pemimpin UMNO dan PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan