Sabtu, 23 Oktober 2021

Ahli politik ada kencing manis, hipertensi, obesiti diminta pakai pelitup muka


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memberi peringatan kepada orang ramai terutama rakan-rakannya dari kalangan ahli politik supaya terus memakai pelitup muka di tempat awam. 

Ini kerana, menurut Khairy, beliau mendapati semakin ramai ahli politik yang tidak memakai pelitup muka ketika bermesyuarat sedangkan ada di antara mereka menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan obesiti.

“Semakin ramai rakan setugas saya dilihat dalam gambar bermesyuarat tanpa memakai pelitup muka.

“Ramai ahli politik menghidapi kencing manis, hipertensi, dan mungkin obes.

“Kalau anda dijangkiti Covid-19, walaupun sudah divaksin, ia tak akan menjadi pengalaman yang menyenangkan,” kata Khairy melalui Instagram Stories miliknya. 

Khairy turut memberi amaran bahawa UK kini menghadapi gelombang baru jangkitan Covid-19 meskipun mempunyai kadar pemvaksinan yang tinggi.

“(Ini sebahagiannya) disebabkan sikap keras kepala mereka yang tak mahu memakai pelitup muka. 

“Jangan jadi macam UK. Pakai sajalah pelitup muka itu,” tegasnya lagi. 

Di UK, meskipun hampir 68 peratus populasi telah divaksin penuh, terdapat seramai 7,521 orang dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19, setakat 20 Oktober, meningkat daripada angka tiga digit yang dicatatkan pada Mei.

Malah, dua hari lalu, dalam sidang medianya Khairy memaklumkan hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Zon Tengah iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima peningkatan kes jangkitan Covid-19 selepas kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Katanyam peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3,4 dan 5 ke hospital awam di Zon Selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) pula menyaksikan hanya Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan.

Buat masa ini, rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka di luar rumah, kecuali ketika makan di kedai makan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka didenda RM1,500.

Tiada ulasan: