KANGAR: Seorang lelaki yang menceroboh wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dengan alasan untuk berjumpa isterinya yang bekerja sebagai jururawat pada 29 September lalu ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Ngulang, Mata Ayer di sini hari ini.
Lelaki berusia 46 tahun itu yang sebelum ini telah beberapa kali menceroboh masuk kawasan wad tersebut bagi tujuan sama ditahan kira-kira pukul 1 pagi.
Suspek berkenaan didapati memasuki wad tersebut kira-kira pukul 4.30 petang tanpa kebenaran pihak hospital dalam keadaan tidak memakai kasut, pelitup muka dan sebarang alat perlindungan diri walaupun sudah dilarang jururawat yang bertugas.
Apabila ditanya pihak hospital mengenai tujuan datang ke wad tersebut, suspek hanya memberitahu mahu berjumpa dengan isterinya yang bertugas sebagai jururawat di situ.
Ekoran tindakan lelaki itu yang sudah beberapa kali menceroboh masuk kawasan wad terbabit menyebabkan pihak HTF mengambil keputusan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Lelaki berkenaan dikatakan merayau di wad yang mempunyai empat pesakit positif Covid-19 sekali gus menyebabkan risiko tinggi terhadap dia dan pihak lain.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan lelaki berkenaan direman sehari dan akan dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.
“Pegawai penyiasat sedang merakam percakapan suspek dan apabila selesai, suspek akan diberi jaminan polis.
“Kertas siasatan akan dirujuk pada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 448 atau Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pegawai Undang-Undang Mahkamah Kangar, Suazira Mohd Surat di sini hari ini. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan