Sabtu, 16 Oktober 2021

Datuk, dua penjawat awam antara 83 dikompaun langgar SOP di pusat hiburan

 Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

ANTARA individu yang dikompaun kerana melanggar SOP ketika berkunjung ke pusat hiburan di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU: Seorang individu bergelar Datuk bersama dua penjawat awam antara 83 yang dikompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika mengunjungi pusat hiburan, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka diambil tindakan dalam tiga serbuan yang dijalankan polis di Johor Bahru dan Masai.

Menurut beliau, nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah berjumlah RM357,000.

“Serbuan pertama yang dijalankan di kompleks Berjaya Waterfront, Stulang Laut pada pukul 1 pagi, 50 individu dikenakan kompaun berserta seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua penjawat awam.

“Serbuan kedua melibatkan sebuah premis di Taman Desa Jaya, Masai dilakukan pada pukul 9.30 malam dengan seramai 17 individu dikompaun manakala serbuan ketiga pada pukul 11 malam di kawasan Southkey Mosaic, 16 individu dikompaun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan memberitahu, tiga penjaga premis-premis itu turut dikompaun antara RM10,000 hingga RM25,000 manakala individu lain dikenakan kompaun antara RM2,000 hingga RM5,000.

“Dalam tiga operasi berkenaan, polis menahan 29 individu kerana positif dadah; 13 wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dan dua individu tidak mempunyai kad pengenalan diri.

“Kesemua yang ditahan dalam Op Noda (Pusat Hiburan) itu berusia antara 16 hingga 62 tahun,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98; Seksyen 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25 Peraturan Pendaftaran Negara.

“Polis akan terus memantau dan pusat-pusat hiburan di seluruh negeri ini dan tindakan tegas akan diambil kepada yang menjalankan operasi yang masih belum dibenarkan mengikut undang-undang.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan hiburan atau pelacuran boleh salurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677,” jelasnya.

Tiada ulasan: