Sabtu, 16 Oktober 2021

Golongan muda akan dipermudahkan beli rumah sendiri

Oleh KHUZAIRI ISMAIL
REEZAL Merican Naina Merican meninjau kerja-kerja pembinaan Rumah Mampu Milik PR1MA - Ideal Residency di Bukit Gelugor, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Chow Kon Yeow.

GEORGETOWN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meneliti model terbaharu bagi membolehkan golongan muda seawal usia 25 tahun untuk memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu termasuk dalam mempermudahkan kaedah permulaan seperti pembayaran deposit untuk golongan terbabit membeli kediaman mampu milik berharga antara RM250,000 hingga RM300,000.

Jelas beliau, usaha itu juga merupakan langkah dalam meningkatkan pemilikan harta atau kekayaan dalam golongan muda yang mana nilai rumah yang dibeli ketika usia muda akan meningkat berkali ganda.

“Dari segi pinjaman juga jika mereka dapat membeli rumah pada usia muda, maka bayaran bulanan menjadi rendah kerana tempoh pembayaran yang lebih panjang selain selari dengan kenaikan gaji.

“Jika pada usia 25 tahun mereka sudah dapat membeli rumah, dalam tempoh 10 tahun nilai rumah itu boleh meningkat sekali ganda dan ini adalah antara cara kita dapat meningkatkan pemilikan harta dan kekayaan dalam generasi muda,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan Rumah Mampu Milik PR1MA – Ideal Residency dan menyerahkan surat tawaran kepada 20 bakal pembeli di Bukit Gelugor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalan pada itu, Reezal Merican turut menggalakkan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan pihak pemaju dalam menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat.

Menurut beliau, kerjasama itu misalnya dengan penawaran subsidi tertentu kepada pihak pemaju dapat mengurangkan harga rumah mampu milik sekali gus membolehkan lebih banyak kediaman dapat dibina.

Jelas beliau, perlu ada kerjasama menang-menang antara pemaju hartanah dan rakyat supaya kepentingan kedua-dua pihak dapat dilindungi dan dalam masa sama kerajaan juga tidak mahu wujud situasi yang mana berlaku lambakan rumah tidak terjual di pasaran.

“Kita juga sudah memberi cadangan kepada Bank Negara Malaysia dalam soal mempermudahkan pembelian rumah ini dan berharap akan ada insentif tertentu diumumkan berhubung perkara ini dalam Belanjawan 2022 nanti,” katanya.

Tiada ulasan: