Sabtu, 23 Oktober 2021

Norma baharu cegah Covid-19 di sekolah


Hanya negeri fasa 4 boleh jalani sesi persekolahan bersemuka. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedaya upaya memastikan semua murid sekolah menengah dan sekolah rendah menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

Namun begitu, Menterinya Dr Radzi Jidin berkata, hanya negeri-negeri di fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan kembali ke sekolah menerusi dua proses persekolahan.

Selain itu, amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu terus dilakukan untuk mencegah jangkitan dan penularan wabak ini di sekolah.

Menurut  Pakar Pediatrik, Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr. Ahmad Bazli Mohamad, amalan mencuci tangan tidak boleh dilakukan secara ala kadar di sekolah.

Kanak-kanak perlu diajar cara sanitasi tangan yang betul agar risiko jangkitan melalui tangan dapat dielakkan. Ini kerana tangan merupakan anggota badan yang sentiasa terdedah kepada persekitaran kerana fungsinya diperlukan hampir dalam semua aktiviti yang dilakukan manusia.

“Mereka yang tidak jaga kebersihan tangan bukan saja boleh menjejaskan kesihatan diri sendiri tetapi juga orang lain. Tangan yang kotor bukan saja boleh menjadi tempat kuman membiak tetapi juga sebagai medium untuk kuman disebarkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Jika mereka yang dijangkiti bersin atau batuk secara terbuka, titisan atau air liur itu berpotensi terjatuh ke atas permukaan yang terdedah. Sekiranya mereka menutup hidung atau mulut dengan tangan, dan kemudian menyentuh permukaan tanpa membasuh tangan, virus tersebut akan tersebar di atas permukaan berkenaan.  Orang lain yang menyentuh tempat yang sama dan memegang muka atau makan tanpa membasuh tangan boleh mendapat kuman Covid-19 kerana virus Covid-19 boleh hidup di atas permukaan untuk tempoh yang agak lama,” katanya.

Antara norma baharu yang digariskan  di sekolah adalah:

  • Pemeriksaan suhu badan pelajar sebelum memasuki kawasan sekolah

Sekiranya terdapat pelajar yang menunjukkan gejala jangkitan, mereka perlu diasingkan di bilik isolasi sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak sekolah. Ibu bapa juga harus memainkan peranan dengan memeriksa sendiri suhu badan anak-anak mereka sebelum ke sekolah serta memantau gejala jangkitan dan elakkan daripada hadir ke sekolah sekiranya pelajar tersebut bergejala.

  • Penjarakan sosial di kelas

Kedudukan pelajar di dalam kelas akan disusun dengan jarak satu meter antara satu sama lain. Sekiranya jumlah pelajar melebihi kapasiti meja yang disediakan, mereka akan ditempatkan di kelas lain. Begitu juga kedudukan pelajar di dalam makmal dan bengkel.

  • Makan di dalam kelas semasa waktu rehat

Waktu rehat adalah masa yang paling kritikal untuk kanak-kanak. Bagi mengelakkan pelajar berkerumun di kantin, mereka digalakkan untuk membawa makanan yang dibeli dan makan di dalam kelas. Waktu rehat dan pergerakan pelajar akan disusun secara berperingkat bagi memberi ruang kepada mereka untuk membeli makanan di kantin. Pihak kantin pula akan menjual makanan yang telah siap dibungkus sahaja.

Tiada ulasan: