Selasa, 5 Oktober 2021

149 pelancong gagal ke Langkawi kerana positif COVID-19

Masih tiada kes jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan pelancong domestik di Langkawi.

SEBANYAK 149 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut sebelum berlepas ke Langkawi bagi projek rintis gelembung pelancongan domestik sejak 16 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 40,458 individu telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Langkawi setelah pelaksanaan projek rintis berkenaan.

Kata beliau, jumlah secara kumulatif itu adalah dari 16 September sehingga pukul 12 tengah hari tadi iaitu kira-kira dua minggu selepas projek tersebut bermula.

Menurut Dr. Noor Hisham, ia melibatkan sejumlah 34,038 individu yang telah disaring di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 lagi melalui feri di Kuala Perlis serta Kuala Kedah.

“Sebanyak 149 kes positif COVID-19 telah dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat selepas menjalani ujian RTK-Antigen dengan mereka telah diasingkan dan diberi perintah pemerhatian dan pengawasan (HSO).

“641 orang lagi telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Langkawi dan kesemua keputusan ujian adalah negatif.

“Baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun pula tidak menjalani ujian COVID-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, hanya 160 kes atau dua peratus daripada 8,075 kes harian yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori 3, 4 dan 5.

Beliau memaklumkan, sebanyak 7,915 kes lagi atau 98 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh pada hari ini terus melebihi kes baharu apabila sebanyak 15,456 kes telah disahkan sembuh sekali gus menjadikan 2.116 juta sembuh.

“Sebanyak 867 kes masih memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 807 kes sah COVID-19 manakala 60 lagi kes disyaki, kemungkinan dan masih dalam siasatan.

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula berjumlah 461 dengan 342 daripadanya sah COVID-19 sementara 119 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” jelas beliau.

Tiada ulasan: