Selasa, 5 Oktober 2021

Saya lepaskan jawatan dalam Kumpulan Kenanga Jun 2010, kata Tengku Zafrul

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan telah melepaskan kesemua pelantikan sebagai eksekutif dan pengarah dalam Kumpulan Kenanga pada bulan Jun 2010.

Menurut Tengku Zafrul, beliau meletakkan jawatan itu selepas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Invest Bank Bhd.

Beliau memaklumkan telah memegang jawatan Pengarah Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad dari Januari 2009 hingga Jun 2010.

Melalui jawatan itu, katanya, beliau telah dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga termasuk di Capital Investment Bank (Labuan) Limited.

“Walaupun pejabat saya ketika dihubungi telah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa saya telah melepaskan jawatan pengarah ketika meninggalkan Kumpulan Kenanga pada Jun 2010, mereka tetap menerbitkan artikel tersebut.

“Membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Limited, walhal ia adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penjelasan Tengku Zafrul itu merujuk kepada artikel yang diterbitkan di portal berita, Malaysiakini hari ini bertajuk ‘Politicians, Ministers and M’sian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak’.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan telah merujuk perkara tersebut kepada peguam untuk mendapatkan nasihat lanjut dan tindakan susulan yang sewajarnya.

Pagi tadi, media melaporkan beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lalu.

Ia didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma serata dunia dikenali sebagai Pandora Papers.

Menurut pendedahan tersebut, dua individu dari Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Pendedahan itu dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara.

Tiada ulasan: