Wednesday, September 22, 2021

Kejayaan vaksinasi dicapai sebulan lebih awal

KUALA LUMPUR: Sasaran 80 peratus dewasa lengkap divaksinasi, menunjukkan lebih 40 juta dos vaksin sudah diberikan kepada populasi Malaysia, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu turut meluahkan rasa teruja dan bangga dengan kejayaan itu, lebih-lebih lagi ia dicapai sebulan lebih awal dari yang telah jadualkan.

"Lebih ramai divaksin, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan COVID-19, lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok.

"Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Katanya, tumpuan kini patut diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti dirancang.

"Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih bawah 60 peratus.

"Semalam, Pasukan Bertindak Immunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) telah ditubuhkan untuk memastikan anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima vaksin.

"Setakat ini, lebih 85,000 remaja menerima vaksinasi lengkap dan disasarkan 80 peratus remaja akan menerima vaksinasi lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 bermula," katanya.

Beliau berkata, kejayaan mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landasan betul.

"Ini juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang menjadi antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.

"Hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa juga memberi manfaat apabila kita menerima sumbangan vaksin melebihi lima juta dos dari negara Jepun, Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam, bahawa suntikan penggalak (booster) akan diberikan seawal Oktober, terutama untuk petugas barisan hadapan yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus ini.

"Saya juga mengalu-alukan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) diumumkan Perdana Menteri untuk golongan B40 dan pembelian alat pulse oxymeter telah diluluskan dalam Sidang Khas COVID-19 Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

"Pemberian PPC yang berjumlah RM471.6 juta ini menunjukkan kesinambungan Kerajaan Prihatin yang peka kepada keperluan rakyat terutamanya golongan rentan.

"Saya berharap pakej bantuan ini dapat disegerakan dan sampai kepada golongan sasar mengikut perancangan demi kemaslahatan rakyat," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan agenda utama kerajaan dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi satu ciapan di akaun Twitter, hari ini memaklumkan sebahagian daripada 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksinasi itu adalah termasuk 374,552 guru sekolah.

"Hari ini Malaysia telah berjaya mencapai sasaran 80% populasi dewasa lengkap divaksinasi.

"Daripada jumlah ini, seramai 374,552 bersamaan 90.48 peratus keseluruhan guru sekolah telah divaksin. Alhamdulillah!," katanya.

Bagi 2,140 guru yang masih enggan divaksin, katanya, tindakan sewajarnya akan diambil Kementerian Pendidikan Malaysia.

No comments: