PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan Ahmad Maslan yang dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini pernah ditawarkan kompaun pada Okt 2019, namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah.
Agensi antirasuah itu dalam kenyataan berkata, kompaun adalah tindakan punitif terhadap mana-mana individu terlibat dan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau setuju mengemukakan representasi dan bersetuju kembali membayar kompaun tersebut,” kata SPRM.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM, selepas membayar kompaun RM1.1 juta.
Sebelum ini, Ahmad, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu atas semua pertuduhan tersebut dan memohon dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima RM2 juta daripada Najib, dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal antara 2.45 petang hingga 3.30 petang 4 Julai 2019 di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment