Wednesday, September 22, 2021

Pelaksanaan PPN sejajar RMKe-12, Bajet 2022 - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilaksanakan sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022, bagi memastikan negara tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk pulih daripada krisis COVID-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui pendekatan seluruh masyarakat, kerajaan dan sektor swasta perlu memainkan peranan masing-masing supaya supaya sektor ekonomi dan sosial, serta sektor lain dapat terus dibuka dan mencapai sasaran dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kita perlu lihat semuanya dalam satu perspektif yang sama kerana kita mahu melihat proses pemulihan ini dapat dicapai dalam satu jangka masa yang tidak terlalu lama.

"Seperti RMKe-12, tahun depan sudah jadi tahun kedua bagi rancangan ini dan dalam apa juga perancangan, pastinya sudah mengambil kira apa bentuk sokongan daripada kerajaan dan swasta supaya sektor ekonomi, swasta dan lain-lain dapat terus dibuka.

"Begitu juga dalam Bajet 2022, yang pastinya juga akan mengambil kira apakah bentuk sokongan dari segi fiskal, bukan fiskal dan kewangan untuk semua sektor, sama ada kerajaan dan swasta, supaya dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan sosial," katanya ketika ditemubual dalam sebuah program di stesen televisyen tempatan, malam tadi.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, peranan sektor swasta amat penting bagi menjayakan PPN, terutama selepas kerajaan menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan.

"Jika kita mahu pulihkan sektor perhotelan, kerajaan boleh pertimbangkan bantuan dari segi pembiayaan, perbankan dan insentif, tetapi sektor swasta perlu memainkan peranan seperti mencari pekerja yang terlatih, menyediakan kelengkapan dan layanan.

"Jika mahu kembali kepada keadaan dahulu seperti ketika ekonomi kita berjalan rancak, langkah ini perlu diambil," katanya.

Mengulas persediaan memasuki fasa endemik COVID-19, Muhyiddin berpandangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas COVID-19 perlu meneliti dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan selama ini, tidak sama dengan yang akan dilaksanakan kelak, termasuk dipermudahkan.

"Ini bagi memastikan ia tidak menjadi halangan yang menyebabkan kita lambat untuk pulih.

"Saya sudah maklumkan kepada menteri yang terbabit supaya apabila kita buka sesuatu sektor itu, pemain sektor itu tidak melihat masih ada kekangan dan kesulitan," katanya.

No comments: