SHAH ALAM: Bapa kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari disahkan meninggal dunia petang tadi.
Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Juwairiya Zulkifli berkata, Allahyarham Shari Mokhsin meninggal dunia disebabkan komplikasi pernafasan.
"Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Parit Asam Kumbang, Benut, Pontian esok pagi (Rabu).
"Marilah bersama-sama kita doakan supaya urusan terakhir Allahyarham dipermudahkan, moga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan diterima segala amal kebaikannya. Al-Fatihah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Amirudin menerusi satu hantar di Twitter turut berkongsi mengenai keakraban dengan bapanya sejak kecil lagi.
"Komunikasi terakhir dengan abah jam 1.27 petang tadi melalui WhatsApp jam 5.30 petang dapat berita abah meninggal dunia. Sejak kanak-kanak selalu saya terfikir bagaimana harus saya lalui bila orang yang hampir dan rapat meninggal dunia, terimalah takdir bahawa mati itu pasti bagi yang hidup," kata Amiruddin.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menzahirkan ucapan takziah kepada Amirudin.
"Saya menghubungi sahabat saya YAB @AmirudinShari dan mengucapkan takziah kepada beliau dan keluarganya dan mendoakan semoga tabah dalam menghadapi kesedihan ini. Al-Fatihah," katanya
Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan malam tadi berkata, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Menteri Besar Selangor atas pemergian bapanya.
"Seluruh warga PDRM mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.
"Didoakan juga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang beriman serta beramal soleh," katanya dalam kenyataan malam tadi.
No comments:
Post a Comment