Sunday, July 18, 2021

Transaksi penjualan aset Tabung Haji era PH diteliti RCI

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat ‘kecacatan’ yang berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (LTH) selain menghentikan transaksi penjualan aset-asetnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, siasatan tersebut yang melibatkan pentadbiran agensi tersebut yang bermula pada tahun 2014 sehingga 2020.

“Jadi bermula 2014 dan hampir dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) semua urusan melibatkan Tabung Haji termasuk transaksi penjualan aset-asetnya akan dimasukan dalam penelitian siasatan RCI.

“Dalam tempoh itu tidak melibatkan kerajaan sekarang, kerajaan sekarang masih lagi dengan ‘new model’ untuk Tabung Haji dan itu tidak akan dimasukkan sebab kita perlu melaksanakan dengan pelan kita sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bantuan Bakul Makanan bagi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor hari ini.

Turut hadir pada majlis gimik pelancaran program tersebut Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Adun Panchor.

Malah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan RCI bagi memastikan perjalanannya dapat dibuat secara adil dan telus selain menambah baik agensi terbabit.

“Kita tidak mahu dengan siasatan ini, membantutkan lagi usaha perancangan kita untuk menambah baik Tabung Haji serta meningkatkan keyakinan rakyat dan pendeposit terhadap Tabung Haji setakat ini.

“Kita tiada satu pun isu yang mencurigakan masyarakat khususnya sembilan juta lebih pendeposit terhadap urusan Tabung Haji, sebab itu tidak diperlukan buat masa ini cuma kita hadkan sehingga 2020,” katanya.

Kerajaan sebelum ini setuju menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai pentadbiran Lembaga Tabung Haji (LTH).

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk menyiasat hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Antara terma yang dipersetujui, skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding terbabit, isu-isu berbangkit LTH sepanjang tempoh itu tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan.

Sementara itu sebanyak 50 peratus agihan program Bantuan Bakul Makanan sudah disampaikan kepada keluarga yang terjejas dengan pelaksanakan PKP3.0 di Parlimen Pengkalan Chepa.

Ahmad Marzuk berkata, ia merupakan peruntukan RM300,000 yang diumumkan kerajaan sebelum ini kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang bagi memperkasakan lagi program Bantuan Bakul Makanan.

“Setakat ini kita sudah agihkan 50 peratus, sehingga hari ini kita akan selesai untuk 100 peratus kita akan agihkan yang melibatkan ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan kerjasama hampir 40 mukim penghulu.

“Kerajaan sudah kenal pasti golongan kategori B40 sebelum ini, sekarang M40 pun kita bagi sebagaimana pegumuman kerajaan, dengan peningkatan ini semua kita bagi,” katanya.

Menurutnya juga sebelum ini sudah diagih 300,000 pek makanan dan tambahan program terbaru menjadikan 600,000 pek. Ini gambar kasar, sebenarnya bantuan ini sentiasa berterusan kita beri kepada rakyat.

“Kita sudah ada senarai, ada juga aduan dari masyarakat yang memerlukan, laporan media, maklumat badan bukan kerajaan (NGO), orang ramai dan buka hotline, tanpa ada yang ketinggalan dari menerima bantuan ini,” katanya.

Dalam melaksanakan hasrat membantu rakyat terjejas ketika pandemik Covid-19, beliau mengakui antara cabaran melaksanakan program tersebut memastikan semua bahan keperluan makanan asas harian mencukupi.

Menurutnya juga pihak pengurusan di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berdepan kekangan tenaga kerja sehingga terpaksa bertugas sehingga malam.

“Ini kerana hendak dapatkan bahan makanan dengan kuantiti yang banyak memerlukan tugas yang lebih besar, alhamdulillah bagi Pengkalan Chepa semua selesai agihkan kepada yang terjejas,” katanya. HARAKAHDAILY

No comments: