Sunday, July 18, 2021

Tindakan tegas individu balik kampung! 4,839 kenderaan diarah patah balik semalam – Ismail Sabri

Ismail Sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB - Gambar TheSundaily

SELURUH rakyat Malaysia dinasihat supaya mematuhi arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha pada Selasa ini, bertujuan memastikan kes positif dari kluster komuniti susulan sambutan perayaan dapat dibendung.

“Larangan rentas negeri, begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Sebaliknya, katanya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya.

Beliau berkata semalam, PDRM yang mengawal rentas daerah dan negeri telah memeriksa sebanyak 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

“Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai 2021 iaitu sebanyak 4,839 sejak PPN dilaksanakan,” katanya.

BERITA BERKAITAN Belum lagi raya.. tapi dah ada kluster balik kampung di Kelantan

Katanya, peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ismai Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah melakukan 74,793 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,406 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,645 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Semalam, 441 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 423 individu dikompaun manakala 18 lagi direman.

Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Dalam usaha kawalan sempadan negara, Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam telah menangkap 13 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas dua buah kenderaan darat.

Op BENTENG melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam.

No comments: