Wednesday, July 21, 2021

Tidak timbul isu vaksin mana yang terbaik

Ada pihak yang cuba putar belit kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan yang menyatakan suntikan vaksin Sinovac di Kelantan sudah tamat.

Lantas mereka menuduh Sinovac adalah vaksin tidak berkualiti dan sebab itu kerajaan menghentikan suntikan.

Saya nasihatkan supaya baca penerangan berita itu dengan betul dan baca lagi beberapa kenyataan oleh YB Khairy Jamaluddin dalam isu ini.
Jangan hanya baca tajuk sahaja. Dah berapa kali saya beritahu, setiap kali tajuk sensasi, baca isi dan penerangan lanjut.

Sebenarnya perolehan vaksin Sinovac sudah capai kuota yang dipesan, 18.75 peratus dari total penduduk negara. Bahkan perolehan kerajaan telah melebihi dari jumlah itu, 16 juta dos.

Inilah yang dijanjikan oleh kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Justeru dos yang berbaki pada masa sekarang adalah akan digunakan untuk penerima dos ke 2 vaksin berkenaan.

Manakala vaksin Pfizer telah ditambah sehingga 44 juta dos. Sedangkan perolehan dan tempahan awal kerajaan adalah hanya 50 peratus.

Di sini tidak timbul vaksin mana terbaik atau terdapat vaksin kualiti rendah atau seumpamanya. Semua vaksin Covid-19 adalah berkesan dan selamat digunakan. Mana-mana vaksin yang ditawarkan untuk kita ambil itu adalah terbaik buat diri kita.

Kita boleh lihat dan baca sendiri kes-kes yang positif setelah divaksin adalah majoritinya berkategori ringan atau tiada gejala. Inilah bukti menunjukkan vaksin itu berkesan mengurangkan bebanan Covid-19 dalam masyarakat.

Mungkin suatu ketika nanti kita boleh hidup bersama virus Covid-19 tanpa merasa ketakutan kerana andai kata ianya menjangkiti kita sekalipun, badan kita sudah mampu berlawan dan tidak menjadi teruk.

Tahniah kepada beberapa negeri yang sudah melepasi 40 peratus divaksin dos 1:

Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 47.6 peratus.
Labuan 60.1 peratus.
Sarawak 56.1 peratus. - AGENDA DAILY

(*) Dr Suhazeli Abdullah - Pakar Perubatan Keluarga

No comments: