Saturday, July 17, 2021

Sudah terang UEC bukan ‘berkiblatkan’ pendidikan Malaysia

 Athirah Huda Zalhe

‘Lihatlah, betapa lembutnya pemimpin Melayu bila berdepan Dong Zong’

BANGI – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya menggalakkan lagi pertumbuhan sistem pendidikan yang tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Apatah lagi, sukatan pelajaran yang diajar di sekolah persendirian Cina ini diambil dari Taiwan, di mana pengiktirafannya bertentangan dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Justeru, apakah alasan digunakan untuk berterusan meningkatkan bilangan UEC yang secara terang-terangan bukan ‘berkiblatkan’ pendidikan Malaysia mahupun nasional, kata Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

“Apakah dasar dan akta ini tidak cukup menjadi kayu ukur bagi membina sebuah negara bangsa yang mempunyai identiti yang satu?

“Kerajaan nampaknya tiada usaha langsung untuk menyatukan perpaduan, malah sekolah vernakular dan sekolah persendirian mengikut kaum ini jelas menunjukkan pengasingan antara kaum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hebahan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pengambilan khas Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai sijil UEC.

Mengulas perkara itu, Ustaz Zamani mendakwa, hebahan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kerajaan dalam diam – sejak zaman Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) sehingga Perikatan Nasional (PN) – sudah secara konsisten meluluskan sijil UEC untuk diterima dalam silibus KPM.

“Apa yang jelas di sini, betapa lembutnya pemimpin Melayu kita sendiri apabila berhadapan dengan Dong Zong ini.

“Tingkah laku pemimpin kita sekarang umpama sudah tiada jati diri, penakut dan mudah sekali tunduk kepada desakan mereka,” katanya.

Beliau menyifatkan pengiktirafan UEC bermakna pencabulan terhadap kedaulatan Malaysia kerana melupakan acuan negara sendiri.

“Sedarkah pemimpin sekalian apa yang kalian lakukan ini satu penderhakaan kepada rakyat.

“Pemimpin kita sudahlah tiada identiti bangsa, malah sedikit pun tidak berusaha untuk menyatukan rakyat tapi boleh pula tunduk dengan desakan orang luar,” katanya.

Ustaz Zamani turut mengingatkan kembali rakyat terhadap sikap Dong Zong yang suka mendesak kerajaan sebelum ini, termasuk dalam isu bantahan pelaksanaan tulisan Jawi.

“Malah, betapa kurang ajarnya mereka sehingga sanggup mendesak untuk menggubal sejarah.

“Apa sahaja yang tidak puas hati mereka lantang mendesak. Sekarang sudah berani mengubah sistem pendidikan mengikut cara yang mereka mahukan, kemudian entah apa pula yang diminta mereka,” katanya.

No comments: