Sejak fasa pemberian vaksin COVID-19 bermula pada awal tahun ini, timbul pelbagai persoalan mengenai proses temujanji vaksin. Ini kerana mungkin ada yang masih belum jelas mengenai proses suntikan vaksin yang sebenar.
Jika anda masih belum tahu mengenai proses ini, rujuk apa yang kami sediakan di bawah ini.
Jika anda sudah mula mendapat notifikasi temujanji vaksin anda, anda mungkin perlu tahu proses sebenar pemberian vaksin ini. Fahami proses di bawah ini.
Ini yang perlu anda tahu sebelum, semasa dan selepas ‘appointment’ vaksin
Untuk memudahkan anda memahami proses ini, kami bahagikan kepada 3 kategori utama iaitu perkara yang perlu anda lakukan sebelum, semasa dan selepas janji temu vaksin.
Sebelum temujanji vaksin
1. Pastikan anda golongan yang layak. Tidak semua individu sesuai untuk menerima vaksin. Jadi, pastikan anda bukan dalam golongan berikut:
a) Mempunyai sejarah alahan.
b) Menjalani rawatan kanser.
c) Ibu hamil.
d) Ibu yang sedang menyusukan anak.
e) Berumur kurang daripada 18 tahun.
2. Kemaskini MySejahtera. Anda perlu memastikan ketepatan alamat semasa anda memandangkan lokasi janji temu anda di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditentukan berdasarkan alamat tersebut. Selain itu, pastikan anda sudah menjawab soalan penilaian yang terdapat dalam aplikasi tersebut.
3. Hadir awal ke PPV. Pastikan anda dapat hadir dan datang lebih awal ke PPV agar tidak menyusahkan petugas kesihatan untuk menghubungi anda.
4. Fahami dan isi borang persetujuan. Sebelum anda mula menerima vaksin, petugas kesihatan akan memberikan penerangan mengenai vaksin. Setelah itu, anda perlu menandatangani Borang Persetujuan Menerima Vaksin COVID-19.
5. Bawa dokumen pengenalan diri. Anda bukan sahaja perlu membawa telefon bimbit, tetapi juga bawa dokumen pengenalan diri atau IC anda.
6. Pakai pakaian longgar. Untuk memudahkan suntikan vaksin oleh petugas kesihatan, pastikan anda memakai pakaian yang longgar. Sebaiknya pakai baju yang berlengan pendek atau lengan panjang yang longgar. Ini kerana vaksin akan disuntik pada bahagian lengan anda.
Semasa temujanji vaksin
1. Buat pengesahan kehadiran. Pastikan anda dapat hadir pada tarikh janji temu yang telah ditetapkan. Jika anda tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk hadir pada hari tersebut, hubungi pegawai bertugas agar tarikh janji temu anda dapat ditunda.
2. Pastikan lokasi PPV dengan tepat. Jika anda tidak tahu di mana letaknya lokasi PPV tersebut, gunakan aplikasi Google Maps atau Waze untuk sampai ke sana.
3. Amalkan SOP. Walaupun anda sudah hampir menerima vaksin pada hari tersebut, anda masih perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan. Pakai pelitup hidung dan jaga jarak anda dengan orang lain.
4. Elakkan pengambilan ubat tahan sakit. Sebagai langkah pencegahan, elakkan daripada mengambil sebarang ubat tahan sakit sebelum anda menerima vaksin. Ini untuk memastikan tiada sebarang tindak balas tubuh terhadap vaksin yang mungkin boleh menyebabkan ia kurang berkesan.
5. Suntik vaksin pada lengan yang tidak dominan. Sekiranya anda kerap menggunakan lengan sebelah kanan, cuba minta petugas kesihatan untuk menyuntik vaksin pada lengan sebelah kiri. Antara kesan sampingan suntikan vaksin ialah merasa sakit pada lengan. Sekiranya disuntik pada lengan yang tidak dominan, ia tidak akan mengganggu kerja harian anda. Ini bukanlah perkara yang wajib tetapi anda boleh cuba bertanya kepada petugas yang menyuntik anda.
6. Berada di ruang pemerhatian. Selepas anda disuntik, anda akan diminta untuk berada di ruang pemerhatian selama 15 hingga 30 minit untuk memastikan tiada komplikasi berlaku.
Selepas temujanji vaksin
1. Pantau kesan sampingan. Ketika berada di ruang pemerhatian, anda mesti memastikan sebarang tindak balas yang mungkin berlaku kepada diri anda pada ketika itu. Maklumkan kepada pegawai yang bertugas sekiranya anda mengalami salah satu daripada perkara ini:
a) Pening kepala.
b) Sukar bernafas.
c) Bengkak pada muka, bibir atau tekak (reaksi alahan).
d) Muntah-muntah.
e) Berasa hendak pitam.
f) Jantung berdegup dengan laju.
g) Kawasan yang disuntik menjadi bengkak.
h) Wujud ruam pada badan (reaksi alahan).
2. Simpan kad vaksin. Selepas menerima dos pertama, anda akan diberikan dengan kad vaksinasi pengesahan dos pertama vaksin. Kad ini akan diperlukan semula sewaktu anda hadir untuk menerima suntikan dos kedua kelak.
3. Jangan tayang kad vaksin di media sosial. Kad vaksinasi yang anda terima mungkin mempunyai maklumat peribadi yang penting seperti alamat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Jangan menayangkannya di media sosial untuk mengelakkan kecurian identiti. Tambahan pula, semua orang akan terima kad vaksin yang sama.
4. Ambil ubat tahan sakit jika perlu. Jika anda berasa sakit pada lengan selepas disuntik, anda boleh mengambil ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.
5. Maklumkan jika kesan sampingan berlaku lebih lama. Kesan sampingan vaksin hanya berlaku dalam tempoh sementara waktu. Namun, jika ia berlarutan sehingga lebih daripada seminggu, segera maklumkan kepada petugas kesihatan di PPV anda.
6. Bersedia untuk dos kedua. Jangan lupa bahawa anda masih mempunyai baki satu dos lagi yang perlu dihabiskan.
7. Terus amalkan SOP. Sudah menerima vaksin bukan lesen untuk anda bergembira dan mengabaikan SOP. Terus amalkan SOP seperti biasa.
(*) Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
No comments:
Post a Comment