Menurut Chandra Muzaffar, pengisytiharan itu perlu ditegaskan semula kerana wujud pihak yang cuba memanipulasi raja-raja demi agenda jahat.
Pengisytiharan 1992 yang menggariskan kod etika raja-raja Melayu ditandatangani enam sultan – lima daripadanya merupakan ayahanda kepada pemerintah negeri ketika ketika ini – meletakkan undang-undang asas berhubung tindakan-tindakan sultan dalam melaksanakan tugas-tugas Perlembagaan yang didraf pemimpin kanan Umno ketika itu termasuk Anwar Ibrahim.
Pengisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan dipersetujui oleh enam raja-raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada Julai 1992, berikutan debat berlarutan mengenai penglibatan raja-raja dalam perniagaan dan juga campur tangan institusi itu dalam politik.
Pengisytiharan yang boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Inggeris itu ditandatangani Sultan Perak, Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang termasuk perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin kanan Umno termasuk naib presidennya, Anwar yang antara lain merupakan orang yang bertanggungjawab mendraf dokumen tersebut.
Anwar pada ketika itu mengalu-alukan pengisytiharan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah ke hadapan bagi mengukuhkan sistem raja berperlembagaan.
“Pendirian Umno dan kerajaan mengenai kedudukan raja-raja Melayu dan prinsip raja berperlembagaan serta konvensyen Perlembagaan diperjelas dalam perisytiharan terbabit,” kata Anwar yang kini merupakan presiden PKR.
Pengkritik sosial veteran Dr Chandra Muzaffar berkata kandungan pengisytiharan tersebut harus ditegaskan semula.
“Selepas 29 tahun ia dikeluarkan, menjadi keperluan untuk menegaskan semula prinsip-prinsip asas ini, kerana ada sebahagian individu yang cuba untuk memanipulasi raja-raja bagi melepaskan diri mereka daripada isu-isu yang betul dan salah dan bagi kepentingan agenda-agenda jahat mereka,” kata Chandra yang meninggalkan Parti Keadilan Nasional, yang merupakan parti pendahulu sebelum ia ditukar menjadi PKR tiga tahun selepas beliau membantu mengasaskan parti tersebut pada 1999.
“Raja-raja dan rakyat tidak boleh benarkan perkara ini berlaku kerana apa yang menjadi taruhan ketika ini adalah integriti dan keteguhan Malaysia sebagai sebuah negara,” katanya.
Hubungan keruh dengan istana
Pengisytiharan itu ditandatangani selepas dua tahun hubungan keruh Umno dan istana susulan beberapa dakwaan wujud campur tangan istana dalam politik Kelantan selain peruntukan kewangan dan projek perniagaan yang melibatkan Istana Selangor.
Pada 1990, tahun di mana Umno kalah kepada gabungan PAS dan Semangat 46 – sebuah parti yang dipimpin seorang kerabat diraja Tengku Razaleigh Hamzah – heboh pada perhimpunan agung Umno apabila beberapa perwakilan mempersoalkan apa yang didakwa sebagai campur tangan Sultan Kelantan dalam politik kepartian.
Mereka juga kecewa dengan tindakan beberapa orang sultan yang menyatakan ketidaksenangan mereka kepada kerajaan di media.
“Jelas sekali dalam perkara ini, raja-raja dalam tindakan dan komennya kepada media massa mencampuri hal pentadbiran negeri yang sebenarnya dalam bidang kuasa menteri-menteri besar dan exco kerajaan negeri,” tulis Majlis Tertinggi Umno dalam sebuah surat kepada Agong pada Februari 1992.
Surat tersebut adalah hasil daripada siri kenyataan dan memorandum dari Umno yang dilihat kritikal terhadap pemerintah negeri berhubung beberapa insiden melibatkan keluarga diraja Selangor, Kelantan dan Johor.
Selepas lima bulan surat itu diutus kepada Agong, Pengisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan itu kemudiannya ditandatangani enam Raja Melayu termasuk Sultan Azlan Shah, Agong ketika itu.
Bagaimanapun, Sultan Kelantan, Johor dan Kedah tidak menandatangani dokumen tersebut.
Peringatan berhubung kuasa raja
Bagi Chandra, dokumen yang dikeluarkan pada 1992 itu adalah satu peringatan yang baik kepada raja-raja, Kabinet dan seluruh rakyat.
“Ia menegaskan garis panduan asas yang membentuk institusi raja berperlembagaan yang merupakan tunggak utama keseluruhan sistem pentadbiran di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Daripada
pengisytiharan ini, jelas sekali Agong bertindak dengan nasihat Kabinet
di peringkat pusat sementara pemerintah negeri bertindak dengan nasihat
majlis mesyuarat kerajaan negeri. Ini adalah berdasarkan Perlembagaan
Malaysia.”
Kunci utama pengisytiharan
Pengisytiharan tersebut berfungsi sebagai kod etika institusi raja, menyatakan hak-hak dan tanggungjawab raja selain beberapa bidang lain yang mereka tidak miliki kuasa atau mesti mengikuti nasihat kerajaan yang memerintah negara.
Antara lain, ia turut mempericikan bagaimana tindakan raja Melayu berhubung perkara-perkara yang melibatkan politik, pelantikan menteri besar, ahli mesyuarat kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan dan perkara melibatkan nasihat dari badan eksekutif negara.
“Kita akan bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau menteri besar selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri masing-masing,” kata pengisytiharan tersebut.
Mengenai politik negara, pengisytiharan itu menjelaskan bahawa “Selaras dengan amalan dan konvensyen kita tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalm parti politik.”
Dalam dokumen tersebut, ia turut menyentuh berkenaan tindakan raja-raja mengenai perkara yang melibatkan aktiviti perniagaan, perbelanjaan istana, agama dan media.
Raja-raja Melayu itu juga turut berkata mereka memiliki hak untuk dirunding dan diberikan taklimat oleh menteri besar mengenai pentadbiran negeri selain memberikan “galakan” dan hak memberi “peringatan” kepada kerajaan.
Namun mereka juga berikrar untuk tidak membawa perkara yang menimbulkan kontroversi kepada pihak media.
“Kita, selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negeri,” kata dokumen tersebut.
Raja-raja juga turut berikrar untuk tidak terlibat aktif dalam perniagaan melainkan melalui pemegang amanah dan penama.
Klik di sini untuk membaca teks penuh pengisytiharan.
No comments:
Post a Comment