KUALA LUMPUR: Bantuan yang disediakan oleh kerajaan adalah berterusan, dengan sebanyak lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan dilaksanakan sejak Mac 2020 berjumlah kira-kira RM530 bilion, tidak termasuk peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion.
Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) ini adalah lanjutan usaha kerajaan untuk merungkai cabaran pandemik sepanjang 2020 dan 2021, selepas tujuh pakej bantuan berjumlah RM380 bilion dilaksanakan yang memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.
Belanjawan 2021 pula bernilai RM322.5 bilion dan masih berbaki RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini.
Kesemua pakej itu tidak terpisah, malah ia saling melengkapi dan semuanya dijalankan secara berterusan.
Menerusi pelaksanaan pakej PEMULIH, jumlah keseluruhan suntikan fiskal bagi 2021 berjumlah RM45 bilion berbanding RM38 bilion pada 2020.
Suntikan fiskal bagi Pakej PEMULIH ialah RM10 bilion dan akan dibiayai sama ada melalui peningkatan hasil melalui tambahan dividen dan sumbangan entiti kerajaan, rasionalisasi perbelanjaan atau tambahan pinjaman.
Pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion dirancang khusus untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan menerusi empat fasa.
Sebelum ini, PEMERKASA Tambahan berjumlah RM40 bilion telah diumumkan bagi membantu rakyat dan perniagaan menerusi Fasa 1 PPN.
Bagi bulan mendatang di bawah PPN, pakej PEMULIH akan menyokong peralihan kepada Fasa Kedua, Ketiga dan Keempat.
Dalam meneruskan agenda prihatin rakyat, Pakej PEMULIH memperlihatkan penambahbaikan dari segi moratorium pinjaman, kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan pinjaman tambahan serta subsidi tambahan berjumlah RM97.9 bilion.
Pakej PEMULIH juga memperlihatkan bantuan diberikan bagi menyokong kelangsungan perniagaan menerusi inisiatif bernilai RM51.1 bilion merangkumi penambahbaikan moratorium pinjaman, subsidi upah dan insentif penggajian, geran bantuan, pinjaman dan jaminan pembiayaan.
Kerajaan juga komited dalam memastikan negara mencapai imunisasi kelompok, dengan meningkatkan usaha vaksinasi membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM1 bilion.
Bantuan bagi separuh kedua 2021 lebih banyak berbanding separuh pertama, dengan bantuan tunai sehingga Mei 2021, berjumlah RM4.7 bilion yang telah disalurkan dari Jun hingga Disember 2021, sebanyak kira-kira RM10 bilion lagi akan disalurkan hampir setiap bulan, yang akan memanfaatkan isi rumah miskin tegar, B40 dan M40.
Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej PERMAI berjumlah RM50 juta, diteruskan, yang dilengkapkan lagi melalui Pakej PEMULIH, dengan RM80 juta tambahan yang akan diagihkan ke semua kawasan Parlimen.
Program myKasih Baucar makanan bermula Julai membabitkan RM100 juta, pengeluaran caruman KWSP i-Citra sebanyak RM1,000 sebulan selama lima bulan berturut-turut dan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak yang akan diteruskan dan tambah baik agar da
pat memanfaatkan lebih ramai pengguna.
Bagi memastikan rakyat mendapat bantuan sehingga akhir 2021, kerajaan juga memberi Bantuan Khas COVID-19, yang dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang membabitkan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Pemberian khas itu menyaksikan isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November dan RM300 pada Disember, manakala individu bujang kategori miskin tegar, akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
Isi rumah kategori B40 pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.
Isi rumah kategori M40 pula akan menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 menerima RM100 pada Ogos.
No comments:
Post a Comment