Friday, July 2, 2021

Pekerja pembersihan sekolah rayu jangan potong gaji

Malaysiakini

Sebagai pekerja kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Syed Haizal berkata kekurangan gaji RM50 pun membuatkannya rasa terganggu, apatah lagi menanggung kehidupan sekeluarganya dengan pemotongan gaji 40 peratus.

Bapa kepada tiga orang anak yang masih bersekolah itu berkata pemotongan gaji pekerja pembersihan di sekolah akan memberikan kesan yang teruk kepada mereka kerana rata-rata mereka tidak mempunyai mata pencarian lain.

“Sebab pekerja KBK ni bekerja sebagai tukang kebun, cleaner di sekolah, di mana-mana institusi kerajaan ni merupakan pilihan terakhir sebab dia tak boleh bergerak.

“Macam saya ni tinggal di kawasan kampung, ini adalah satu-satunya mata pencarian untuk penduduk kampung di sekitar ataupun cleaner di sekolah,” katanya dalam satu sidang media Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) secara dalam talian hari ini.

Ia berikutan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyatakan dalam garis panduan perintah kawalan pergerakannya (PKP) bahawa pengoperasian kerja pembersihan di sekolah harus dikurangkan kapasiti 60 peratus dan semua kontraktor hanya dibayar untuk pelaksanaan tugas untuk 60 peratus sahaja.

Ini memberi ruang kepada kontraktor memotong gaji pekerja sebanyak 40 peratus.

Untuk rekod, pelaksanaan ini bakal menjejaskan pendapatan sekitar 50,000 pekerja pembersihan sekolah yang rata-ratanya berpendapatan gaji pokok sebanyak RM1,100 atau RM1,200.

Syed Haizal yang bekerja di sebuah sekolah di Kelantan berkata, sebagai pencari nafkah tunggal untuk keluarganya dia perlu mencatu sebahagian besar daripada perbelanjaan bulanannya berikutan pemotongan tersebut.

“Sekarang ni keadaan pandemik semua berada di rumah… paling penting sekali adalah makanan. Kebanyakan gaji habis untuk makanan. Kalau hilang pula 40 peratus, macam mana pulak nak survive untuk anak-anak, isteri dalam masa sebulan ini?” katanya yang telah bekerja kontrak pembersihan selama 10 tahun.

“Untuk gaji 40 peratus yang akan dipotong ni kerajaan perlu turun ke bawah untuk lihat siapa, darjat mana pekerja KBK ni.

“Sebab mereka tak tahu, mungkin ada orang baru di KPM ini dia ingat pekerja KBK ni kemungkinan warga asing. Kalau warga asing pun kita tak boleh layan macam ini. Gaji adalah untuk makanan, tanpa gaji maka berlakulah masalah-masalah sosial,” katanya.

Nak beli makanan keperluan pun tak cukup

Salah seorang pekerja pembersihan sekolah, Wardah Ibrahim dari Perlis turut mengeluh dengan pemotongan tersebut yang menurutnya membebankan dan dianggap sebagai penindasan terhadap pekerja kontrak sepertinya.

“Kami yang pekerja kontrak ni memang itu saja kami harapkan pendapatan kami. Kami memang rasa terbeban, memang tak setuju sangat.

“Kalau boleh kami minta pihak-pihak kerajaan dan pihak berkenaan memandang isu ni dengan serius sebab nasib pekerja-pekerja macam kami ni gaji kecil.

“Dahlah dengan potongan caruman KWSP lagi. Saya ini kerja seorang, suami pun kerja-kerja kampung saja,” katanya yang turut serta dalam sidang media yang sama.

Wardah Ibrahim

Dia turut merayu supaya kerajaan meneliti semula keputusan tersebut kerana ia tidak mencukupi untuk menyara dirinya sekeluarga.

“Setakat nak makan biasa pun memang tak lepas. Nak bayar sewa, motor, cukai jalan (yang tamat tarikh) mati,” kata wanita berusia 36 tahun itu.

Situasi yang sama turut dirasai oleh Ponmalar Mathukaryan, 49, dari Melaka yang mendapati gajinya dipotong daripada gaji pokok RM1,200.

“Saya tak faham (kenapa dipotong). KWSP pun bila dah dipotong (daripada gaji) lagilah kurang (gaji). Saya dapat RM500 saja sebulan (lepas ditolak dan dipotong).

Tambahnya, ketika tidak sihat baru-baru ini, sijil cuti sakit yang diperolehnya juga tidak diterima. Sebaliknya penyelianya berkata ia perlu ditolak dengan cuti tahunan, jika tidak ia akan ditolak daripada gaji.

Namun dia tidak bersetuju kerana cuti tahunannya itu hanya akan digunakan sewaktu kecemasan.

Polisi bercanggah

Sementara itu, Penyelaras JPKK Sivaranjani Manickam dalam sidang media sama berkata potongan gaji pekerja pembersihan kontrak kerajaan di sekolah dilaksanakan sejak Jun.

Katanya terdapat pekerja yang menerima potongan tersebut dan ada yang masih belum dipotong gajinya.

Menurut Sivaranjani, JPKK sejak dua minggu lalu telah menerima banyak aduan mengenai pengumuman pemotongan gaji itu dan kemudian pihaknya telah melaporkan isu tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Bagaimanapun, katanya JTK meminta pekerja untuk memfailkan kes tuntutan di jabatan tersebut.

Dia berkata, menurut garis panduan PKP Kementerian Sumber Manusia (KSM), kementerian itu menyatakan bahawa majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja semasa PKP.

“Tetapi KPM pula telah melanggar polisi KSM. Kedua-duanya kementerian kerajaan bercanggah satu sama lain. Tetapi yang akhirnya menjadi mangsa adalah pekerja yang miskin,” katanya.

Tambahnya, pihaknya telah menghantar surat kepada KSM, KPM dan Kementerian Kewangan berhubung isu tersebut sejak bulan lalu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

Dia berkata JPKK menuntut supaya gaji pekerja B40 dipulihkan 100 peratus dan meningkatkan gaji minima mereka.

Pada masa sama, menggesa supaya pekerja kontrak pembersihan dan pengawal sekolah di premis kerajaan tidak dianaktirikan dan turut mendapat vaksin sepertimana guru sekolah dan petugas lain memandangkan mereka adalah petugas barisan hadapan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pihak terbabit berkaitan keluhan pekerja di atas.

No comments: